Datuk Seri Ab Rauf Yusoh at press conference before attending the UMNO division chiefs meeting at Menara Dato Onn in PWTC. AZMAN GHANI / The Star

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara lapan muka baharu yang dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara akan mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Sulaiman ketika mengumumkannya, berkata selain itu, muka baharu yang dilantik adalah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani);

Turut dilantik, ADUN Gadek, VP Shanmugam (EXCO Belia, Sukan dan NGO); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan) serta ADUN Merlimau, Dr Akmal Saleh (EXCO Kesihatan dan Antidadah);

ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (EXCO Pendidikan dan Teknologi) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).

Sulaiman berkata, beliau akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama, manakala ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

Sementara ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman pula dilantik sebagai Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

“Senarai EXCO berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Simpan Rahsia akan berlangsung petang ini,” katanya memetik BH.

Beliau turut yakin barisan EXCO berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Melaka, sekali gus dapat menggerakkan usaha merealisasikan manifesto serta aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.