SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air hari ini, selepas mengadakan lawatan kerja empat hari ke New York, Amerika Syarikat (AS) dari 20 hingga 24 September dan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Pesawat yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 5 petang.
Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Lawatan Anwar ke AS membuahkan hasil apabila usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi negara itu.
Malaysia berpotensi besar bangkit kembali sebagai ekonomi dinamik – Anwar
Anwar mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.
Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah US$40 trilion, Anwar memberi komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif.
Lawatan itu juga memberi peluang kepada Anwar untuk berkongsi dasar dan aspirasi Malaysia terkait hubungan antarabangsa. – Bernama