Kubur pelatih PALEPES UTM diarah gali semula untuk bedah siasat

KUALA LUMPUR -Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan ibu menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, di Semenyih, Hulu Langat bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sekali lagi.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh bagi membolehkan siasatan semula dilakukan terhadap kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Antara yang dibenarkan termasuk kehadiran peguam dan pakar forensik bagi pihak pemohon, Datuk Seri Govinder Singh ketika proses bedah siasat dilakukan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penggalian kubur allahyarham.

Sebelum ini, berdasarkan notis usul yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Ummu Haiman Bee Daulatgun menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonannya, ibu tunggal itu memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran pakar forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya, lapor Utusan di Shah Alam.

Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ummu Haiman Bee juga memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Semasa prosiding, Ummu Haiman Bee diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili responden pertama manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Syamsul Haris, 22, menerusi Jawatankuasa siasatan berhubung kes berkenaan.

Dapatan itu diperoleh jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat