Indonesia merusuh menentang polisi kenaikan gaji wakil rakyat dan cukai

JAKARTA, – Indonesia kini berdepan gelombang protes rakyat yang semakin membesar, menandakan kemarahan mendalam terhadap dasar kerajaan dan gaya hidup mewah elit politik.

Semalam, ribuan mahasiswa mengadakan demonstrasi di hadapan gedung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Jakarta, menolak keputusan menaikkan kenaikan elaun ahli parlimen sebanyak 50 juta rupiah sebulan.

Jumlah itu dianggap keterlaluan jika dibandingkan dengan purata gaji rakyat Indonesia yang hanya sekitar 5 juta rupiah sebulan.

Aksi yang bermula dengan laungan menuntut keadilan sosial bertukar ganas apabila segelintir peserta bertindak membaling batu, membakar motosikal, dan cuba merempuh kawalan keselamatan. Polis segera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Lebih 1,200 anggota pasukan anti-rusuhan dikerahkan, manakala beberapa mahasiswa dilaporkan cedera.

Protes Merebak ke Daerah

Gelombang ketidakpuasan bukan hanya di Jakarta. Di Pati, Jawa Tengah lebih 100,000 orang berkumpul antara 10 hingga 13 Ogos lalu membantah kenaikan cukai tanah (PBB-P2) sebanyak 250%.

Tindakan drastik itu akhirnya memaksa kerajaan daerah menarik balik kenaikan berkenaan selepas tekanan hebat masyarakat.

Di Cirebon dan beberapa daerah lain, rakyat juga turun ke jalan membantah kenaikan cukai hartanah sehingga 400 hingga 1,000 peratus, yang dikaitkan dengan dasar penjimatan fiskal kerajaan pusat.

Kemarahan rakyat makin membara apabila Bupati Sudewo di Pati dikaitkan dengan projek-projek kontroversi termasuk pemindahan masjid dan pembaziran dana untuk videotron. Desakan rakyat akhirnya memaksa DPRD Pati menggunakan hak angket untuk menyiasat pentadbiran beliau.

Penganalisis politik berpendapat protes ini mencerminkan jurang antara elit politik dan rakyat semakin melebar.

“Isu kenaikan gaji DPR sebesar 50 juta rupiah sebulan menjadi simbol ketidakadilan. Rakyat melihat wakil rakyat hidup mewah, sedangkan mereka bergelut dengan kos sara hidup tinggi,” kata seorang pemerhati politik dari Universiti Indonesia.

Tambahan pula, dasar fiskal kerajaan Presiden Prabowo Subianto yang menekan daerah dengan cukai baharu dianggap sebagai pengkhianatan terhadap janji kempen beliau untuk membela rakyat kecil.

Ujian Awal Buat Prabowo

Protes besar-besaran ini hadir ketika pentadbiran Prabowo baru memasuki tahun pertama, memberi gambaran awal bahawa populariti beliau bakal tercabar jika isu keadilan ekonomi tidak ditangani segera.

Walaupun kerajaan pusat beralasan bahawa kenaikan cukai diperlukan untuk menampung perbelanjaan ketenteraan dan program bantuan sosial, rakyat melihatnya sebagai beban tidak adil yang mengorbankan kesejahteraan harian mereka.

Kebangkitan mahasiswa di Jakarta pula mengingatkan ramai kepada demonstrasi reformasi 1998 yang menggulingkan Presiden Suharto. Walaupun skala kini lebih kecil, ia menandakan potensi api reformasi baharu sekiranya pemerintah gagal bertindak secara bijaksana.

Dengan ekonomi yang sedang menanggung tekanan inflasi, pelaburan asing yang semakin berhati-hati, dan rakyat yang marah dengan gaya hidup elit politik, Prabowo kini berada di persimpangan jalan.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat