KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Timbalan Ketua Bersatu bahagian Segambut Adam Radlan Adam Muhammad masih menjalankan urus niaga paling untung apabila ambil rasuah dan selepas bayar kompaun masih buat untung apabila dibebaskan dari 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, setelah membayar kompaun RM4.1 juta
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tuduhan rasuah tersebut membabitkan projek-projek di bawah Jana Wibawa yang kononnya ingin membantu kontraktor Bumiputera di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Adam Radlan berdepan dakwaan – Meminta suapan di antara 3.5 hingga 7 peratus berhubung projek jalan bernilai RM47.6 juta daripada Mat Jusoh Mamat, pengarah urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd – meminta suapan RM2 juta daripada Lian Tan Chuan untuk membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapat kontrak bernilai RM141 juta.
“Menerima suapan RM2.1 juta daripada Mat Jusoh untuk satu lagi projek Jalan Sg Adam ke Kg Banat, Perlis bernilai RM47.8 juta dan juga menerima suapan RM500,000 dari Mat Jusoh untuk mendapatkan tender Jalan Sg Adam secara rundingan terus.
“Menerima RM4.1 juta daripada Mat Jusoh dan Lian Tan Chuan untuk mendapatkan dua lagi tender di bawah Jana Wibawa dan meminta suapan RM2 juta daripada Lian Tan Chuan untuk satu lagi projek Jana Wibawa.
“Secara kasar, sekurang-kurangnya dia dituduh telah menerima RM6.7 juta dan meminta suapan dalam RM6 juta lagi. Dalam diam-diam, peguam Adam Radlan menulis surat representasi untuk membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta untuk dibebaskan dari tuduhan-tuduhan ini.
“Dalam diam-diam, pendakwaraya bersetuju dan pada mulanya ingin memberikan DNAA (lepas tanpa bebas), tetapi peguam Adam Radlan memohon supaya dibebaskan terus kerana telah membayar kompaun. Akhirnya bebaslah Adam Radlan,” dakwa bekas Menteri Ekonomi itu.
Kata Rafizi, ini bisnes paling untung – dituduh dapat RM6.7 juta, pulangkan balik dengan membayar kompaun RM4.1 juta, ada lagi RM2.6 juta. Margin keuntungan 39 peratus tanpa perlu buat apa-apa.
Ujar bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi, kebelakangan ini, ada trend kes-kes rasuah besar terlepas dengan membayar balik.
“Dulu kita dengar anak tiri Najib, sekarang ada laporan bahawa Adam Radlan ini sepupu kepada menantu Muhyiddin. Begitulah al-kisah Malaysia.
“Kalau orang biasa curi susu, hukumannya penjara 6 bulan. Kalau kaum kerabat orang VIP dituduh rasuah atau mencuri, asal bayar balik boleh lepas.
“Lepas ini, kalau ada rakyat biasa yang dituduh mencuri susu atau makanan biasa, mohon maklum kepada saya. Saya nak cari peguam untuk buat permohonan yang serupa untuk mengembalikan susu yang dicuri dan minta dibebaskan.
“Kita tengok pendakwaraya dan mahkamah akan setuju atau tidak. PN bising pasal Melayu terancam, bab sepupu sepupu terlepas tuduhan rasuah diam, sudahlah ia berkaitan projek Jana Wibawa dan melibatkan kontraktor bukan Bumiputera.
“Madani bising pasal benteras rasuah tetapi perkara ini tetap berlaku di bawah Perdana Menteri yang terpaling anti-rasuah,” bidas Rafizi.



