KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Johor menggesa Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar memikul tanggungjawab atas ketidakcermatan dan kelalaian dalam pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dengan segera berundur secara terhormat.
Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata, ketidakcermatan ini terbukti apabila Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing pada 7 November 2026 untuk menjelaskan kedudukan sebenar.
Tambahan pula kata beliau, laporan polis telah dibuat terhadap Peguam Negara. Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, adalah lebih wajar Peguam Negara berundur daripada jawatannya.
“Pemuda Umno Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kenyataan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang teguh dan berpendirian terhadap keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 berkenaan pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak.
“Kenyataan Istana Negara pada 7 November 2026 membuktikan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab Baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang cacat mahupun cela.
“Pemuda Umno Johor menzahirkan rasa kecewa dan sangat tidak berpuas hati terhadap cara Peguam Negara menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan tersebut.
“Pengendalian perkara ini jelas tidak cermat serta memberi gambaran seolah-olah wujud niat untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan,” dakwa Noor Azleen.


