KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan tiga perkara utama yang membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai “Masa Depan Asia” di Persidangan Nikkei di Tokyo, Jepun.

Tiga idea yang diketengahkan Perdana Menteri ialah memperkasakan integrasi ekonomi serantau; mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan dan bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Kata Ismail Sabri, ini adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan
negara di Asia.

“Dalam aspek memperkasakan integrasi ekonomi serantau, perkara utama ialah menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.

“Transformasi ekonomi Asia sejak lebih dua dekad lalu telah menyaksikan rantau ini menjadi pemain utama dalam ekonomi global. Keberhasilan ini dapat dilihat daripada peningkatan usaha kerajaan dan sektor
swasta untuk mengukuhkan integrasi ekonomi rantau ini dalam aliran dagangan dunia, pelaburan, bakat dan teknologi.

“Berikutan itu, bagi tempoh antara tahun 2000 hingga 2017, penguasaan Asia dalam keluaran dalam negara kasar dunia, daripada segi kesetaraan kuasa beli, meningkat daripada 32 peratus kepada 42 peratus.
Keadaan ini ternyata berbeza dengan Eropah menyaksikan berlaku penurunan daripada 26 peratus kepada 22 peratus, manakala Amerika Utara daripada 25 peratus kepada 18 peratus dalam tempoh yang
sama. Ini menunjukkan Asia berada dalam kedudukan penting dalam landskap perdagangan dunia untuk menentukan fasa globalisasi berikutnya,” ucap Perdana Menteri.

Namun begitu kata Ismail Sabri, segala-galanya berubah apabila krisis pandemik Covid-19 memuncak. Kegiatan perdagangan serantau meningkat apabila kebanyakan perniagaan lebih menjurus di Asia kerana
rantaian bekalannya lebih pendek dan berdaya tahan tinggi.

Jelasnya, berdasarkan pola perdagangan, jumlah perdagangan dalam kalangan negara Asia adalah besar; eksport barangannya berada pada purata 59 peratus bagi tahun 2016 hingga 2020. Ini menunjukkan Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia jika pendekatan diambil lebih bersifat serantau.

Kata Perdana Menteri lagi, ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, saya berpendapat penting sekali bagi para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan.

“Selain itu, para pembuat dasar di Asia seharusnya menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan dan
pembangunan ekonomi rantau ini.

“Transformasi digital secara besar-besaran dan menyeluruh melibatkan PMKS membolehkan mereka menyertai aktiviti e-perniagaan rentas sempadan secara lebih aktif. Pandemik telah menyedarkan usahawan supaya menerima pakai penyelesaian digital dan teknologi dalam usaha kekal relevan,” kata beliau.

Dalam ucaptama itu lagi, Perdana Menteri menyebut, Asia sememangnya berada pada kedudukan baik kerana menguasai pasaran perdagangan terbesar di dunia.

“Ia mewakili 57 peratus atau AS$1.1 trilion daripada nilai jualan e-perdagangan dunia pada tahun 2019. Angka peratusan itu dijangka mencecah 61 peratus, atau AS$1.9 trilion menjelang tahun 2024.

“Prospek pertumbuhan ini memberikan peluang besar kepada PMKS untuk mendapat akses kepada pasaran baharu dan mengeksploitasi pelbagai cara baharu bagi memastikan produk mereka terus berdaya saing dalam pasaran.

“Bagi menjayakannya, pembuat dasar sama ada dalam sektor swasta atau awam perlu bekerjasama membina jaringan logistik yang mantap, membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam
rantaian bekalan dan mempromosikan pembangunan teknologi digital inovatif yang dapat memberi kelebihan kepada PMKS dalam meningkatkan penyertaan mereka melalui
aktiviti e-perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Selain itu, perkara teras yang kedua menjurus kepada kepentingan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan apabila Asia bertindak melakarkan strateginya dalam dunia penuh persaingan dan berbelah pendirian.

“Di tengah-tengah perbezaan yang berlaku di dunia ini, saya berpendapat adalah sangat penting rantau ini menjadikan kerjasama dan perundingan serantau sebagai nilai dan prinsip asas mereka.

“Berlakunya pandemik di seluruh dunia mengingatkan kita bagaimana institusi negara (national) dan serantau begitu juga struktur dan rekaaannya yang disangkakan kuat dan kental sebenarnya adalah rapuh
jika prinsip dan nilai gagal dipatuhi.

“Kami mengiktiraf perundingan sebagai penting sama ada di peringkat Asia Tenggara atau pun Malaysia bagi mencari penyelesaian kepada cabaran bersama atau pertikaian.

“Ini dilakukan melalui mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN Plus three, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus,” ujarnya.

Platform-platform ini yang kekal aktif membuktikan konsep musyawarah boleh dilakukan antara pemimpin dan pemegang taruh bagi keselamatan dan keamanan serantau, kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, pertikaian diredakan secara diplomasi, pragmatisme dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa yang menjadi pegangan negara-negara anggota ASEAN.

“ASEAN kekal komited dengan peranan yang inklusif terutama ketika persaingan dan perbezaan pendapat semakin meningkat. Melalui ASEAN, negara-negara anggota mengadakan dialog yang membina, menggalakkan penyelesain secara damai bagi setiap pertikaian dan memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran global bersama dengan berteraskan kepada kepaksian kepada
ASEAN (ASEAN Centrality).

“Justeru, ASEAN sangat menghargai sokongan rakan-rakan dialognya yang kebanyakannya juga menjadi peserta Persidangan Nikkei. Melihat di luar daripada ruang lingkup ASEAN, saya percaya kita perlu juga memberikan perhatian dan sumber lebih besar dalam proses Kerjasama Ekonomi serta Perjanjian Komprehensif Serantau (RCEP),Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

” Tiga pemacu ekonomi yang dikenali pasti dalam Wawasan APEC 2040 atau lebih tepat dikenali sebagai Wawasan Putrajaya 2040 telah membolehkan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kukuh dalam norma baharu pasca pandemik. Tiga pemacu ekonomi ini adalah perdagangan dan pelaburan; inovasi dan digitalisasi dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, selamat, mapan dan inklusif.

“Dengan meneruskan kerjasama yang disandarkan kepada tiga pemacu ekonomi ini, pastinya kita boleh merealisasikan masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040,”jelasnya.

Pun begitu menurut Ismail Sabri, bagi usaha memperkasakan peranan Asia melalui mekanisme kerjasama serantau, kita perlu juga berhati-hati dalam tindak balas terhadap isu-isu sedia ada dan juga yang baru muncul.

Katanya, tidak perlu diadakan rangka kerja baharu sebaliknya platform sedia ada boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

Ujar Ismail Sabri lagi, perkara teras yang ketiga merupakan gesaan kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

“Asia, terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Pada tahun 2021, lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di
rantau Asia Pasifik.

“Oleh itu, sudah tiba masanya, para pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui bahawa perubahan iklim akan mengubah semula usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau.

“Malaysia telah mengambil langkah aktif bagi menangani isu ini dengan mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim dan pendekatan yang diambil melibatkan “whole of nation” yang menyaksikan wujudnya
kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta, kumpulan persatuan sivil, masyarakat setempat – terutama mereka yang paling berisiko.

“Manakala bagi tempoh jangka panjang Malaysia juga komited memenuhi visi negara untuk mencapai tahap karbon neutral menjelang tahun 2050 dan bertindak menggubal undangundang berkaitan perubahan
iklim.

“Krisis perubahan iklim merupakan isu sejagat dan tiada negara mampu mengendalikannya secara bersendirian. Bagi negara-negara membangun ia sangat membimbangkan kerana kos dan juga kapasiti yang
diperlukan untuk mendepaninya akan menghakis sumber untuk mencipta peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.