Evolusi muzik Akim

- Advertisement -

SELEPAS lima tahun mencipta magis bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), vokalisnya, Akim Ahmad kini kembali merakamkan single solo berjudul Bayang.

Namun, ia tidak bermakna Akim, 30, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad sudah ‘angkat kaki’ untuk meninggalkan kumpulan itu.

Sebaliknya, Akim yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi solo selepas memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada 2009 berkata, dia hanya terbabit dalam sebuah projek lagu atau single solo.

Lagu Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbezanya sepanjang 12 tahun pembabitan sebagai anak seni.

“Disebabkan lagu Bayang ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tapi kali ini, saya nak tunjukkan sisi berbeza pula. Selepas lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo.

“Jadi, ini buah tangan terbaharu untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Menurut Akim, lagu Bayang sudah lebih setahun disimpan, sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solonya.

“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan saya untuk merakamkannya, tapi saya cakap nanti dulu.

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Bayang yang baharu sahaja dilancarkan minggu lalu, Akim berkata, liriknya mengisahkan mengenai kehidupan seharian.

“Lagu ini berkenaan kehidupan seharian kita di mana semua orang sentiasa hidup dengan bayang. Jadi, kena sentiasa mengadu dengan pencipta kita. Apabila dalam keadaan gembira, sedih atau apa saja, kena sentiasa mengadu kepada pencipta (Allah).

“Selagi ada bayang, kena sentiasa jalankan tanggungjawab. Pendek kata, lagu ini memberi kekuatan untuk hidup,” katanya.

Menariknya, lagu Bayang juga dipilih menjadi satu daripada lagu tema utama drama Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang ditayangkan pada 28 April ini setiap Isnin hingga Jumaat di slot Akasia, TV3.

Lagu ini bakal diselang-selikan sebagai lagu latar pembukaan dan penutup drama itu.

“Satu kelebihan buat lagu Bayang ini apabila ia dipilh untuk dimainkan pada ‘opening credits’ dan ‘ending credits’ drama itu. Malah, lirik lagu juga ditulis berdasarkan sinopsis drama berkenaan,” katanya.

Drama Sabarlah Duhai Hati menampilkan pelakon Amyra Rosli, Saharul Ridzwan, Puteri Sarah, Izzue Islam, Iman Suhana dan ramai lagi.

Lagu Bayang sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music, sementara video lirik rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat