YDP Agong berangkat rasmikan Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Parlimen Ke-15 hari ini.

Turut sama berangkat Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal.

Ini adalah istiadat pembukaan Parlimen yang pertama oleh Baginda semenjak dilantik Yang di-Pertuan Agong yang ke-17 pada Januari lepas.

Sejurus tiba di Parlimen, Baginda berdua diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh Pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja, Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur.

Selesai istiadat berkenaan, pasangan diraja diringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja, yang merupakan titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas.

Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform dalam talian.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung 18 Mac hingga 4 April ini.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat