KUALA LUMPUR — Sebagai “angsa emas” dan aset strategik negara yang penting, Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) mesti kekal menjadi milk rakyat Malaysia, jelas Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ketua Pembangkang itu berkata, pihaknya menentang keras penjualan saham MAHB dan mahu MAHB kekal sebagai sebuah syarikat awam yang disenaraikan di BURSA Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.
Oleh itu menurutnya, keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersedia untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil kesemua pihak yang terlibat dalam urus niaga ini adalah langkah yang bertepatan.
“Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) adalah merupakan salah satu aset strategik negara yang utama.
“lanya amat penting untuk dikekalkan berstatus syarikat awam yang disenaraikan di BURSA Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.
“Prosiding PAC berupaya untuk memperolehi keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjualan saham MAHB kepada pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya kandungan Independent Advice Circular (Ac) bertarikh 20 Disember 2024 berkaitan penjualan saham MAHB mendedahkan bahawa semua 5 orang Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut.
Tambahnya, mereka mensyorkan kepada para pemegang saham untuk menolak tawaran pembelian saham tersebut.
“Berdasarkan rekod, bilangan penumpang yang dikendalikan oleh MAHB Group sehingga September 2024 telah mencecah 101.2 juta penumpang.
“Pendapatan MAHB Group juga meningkat 20.3% kepada RM4.26 billion sehingga September 2024 berbanding tempo yang sama bagi tahun 2023.
“Keuntungan selepas cukai juga melonjak sebanyak 137% kepada RM606.3 juta sehingga September 2024 berbanding September 2023,” katanya.
Sehubungan itu jelasnya, penawaran yang dibuat amat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi serta jaringan besar 39 lapangan terbang di bawah MAHB,” katanya.
lanya juga tegansnya tidak mengiktiraf momentum pertumbuhan yang dibina MAHB melalui strategi dan hala tuju yang jelas.