Speaker Dewan Rakyat sahkan sudah terima saman pemula Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Johari Abdul mengakui sudah menerima saman pemula difailkan Bersatu susulan pengisytiharan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu.

Bercakap pada sidang media pada Isnin, Johari berkata, writ saman itu diterima beliau minggu lalu, namun menjelaskan belum meneliti kandungan dokumen berkenaan.

“Saya belum tengok lagi dan akan semak kemudian, tetapi dimaklumkan ia (writ saman) sudah dihantar (ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat),” katanya memetik laporan BH.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu turut merasmikan Kempen Membanteras Keganasan terhadap Wanita (EVAW) anjuran Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat di Lobi Parlimen.

Sebelum ini dilapor mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.

Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif pada 15 November lalu, melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Selain Johari, Bersatu turut menamakan lima Ahli Parlimen, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.

Mengulas tindakan Bersatu itu, Johari berkata, pihaknya menyerahkan kepada Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk mengendalikan prosedur berkaitan saman terbabit.

“Ini hak mereka (untuk mengemukakan saman). Saya rasa semua rakyat Malaysia, organisasi dan parti ada hak berlandaskan undang-undang.

“Apa-apa tindakan berlandaskan undang-undang akan diadili seadil-adilnya oleh pihak berkuasa.
“Justeru, biarkan prosiding saman ini diselesaikan secara perudangan. Kita tak boleh selesaikan secara emosi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat