KUALA LUMPUR — Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluaskan kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasa bagi menangani isu penyebaran maklumat palsu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sejak tahun 2022 sehingga 15 November 2024, sebanyak 21,156 kandungan palsu telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial mengikut standard komuniti yang telah ditetapkan.
“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 198 kes bagi elemen palsu telah disiasat dan daripada jumlah tersebut sebanyak lima kes telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman.
“Rang Undang-Undang pindaan Akta 588 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 November 2024 dan dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Parlimen pada Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom), adakah kementerian bercadang untuk menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu yang
mengganggu ketenteraman awam.
Teo berkata dalam cadangan pindaan kepada Akta 588, evolusi teknologi dan peningkatan tahap penggunaan serta kebergantungan kepada teknologi telah diteliti dan diambil kira bagi menangani ancaman di alam siber.
“Ini termasuk isu penyebaran maklumat palsu melalui platform dalam talian sehingga menyebabkan kemudaratan kepada pengguna.
“Kerajaan juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dalam masa terdekat, bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial termasuk berita palsu.
“Selain itu, terdapat juga peruntukan-peruntukan di bawah kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan berita palsu,” katanya.
Jelasnya lagi, Kementerian Komunikasi juga telah menubuhkan Task Force Menangani Berita Palsu pada 1 Disember 2022 bertujuan memantau berita palsu yang mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, agama, budaya, keselamatan dan kedaulatan negara.
“Task force ini telah dijenamakan semula kepada Task Force Menangani Berita Palsu dan 3R mulai 6 April 2023, selaras dengan penetapan fungsi baharu yang mencakupi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap hantaran dan kandungan di media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R.
“Bermula daripada 1 Disember 2023 sehingga 22 November 2024, sebanyak 27 mesyuarat Task Force Menangani Berita Palsu dan 3R telah diadakan,” katanya.