Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Manifestasi Dua Seni bakal menjadi satu lagi platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan, ‘Manifestasi Dua Seni’ bertujuan menyokong pelaksanaan program-program yang memperkaya pengalaman seni masyarakat serta memupuk kreativiti dan penghargaan terhadap seni tempatan.
Menurutnya, program ini berlangsung dari November hingga Januari 2025 ini menawarkan pengalaman seni yang luar biasa, menggabungkan dua cabang seni utama iaitu seni visual dan sastera sebagai usaha bagi memperkukuh identiti budaya Malaysia.
Ianya, sejajar dengan seruan Perdana Menteri menerusi ucapannya dalam Bajet 2024 Oktober lalu, untuk memartabatkan karya seni dan sastera negara serta memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.
“Manifestasi Dua Seni memberi tumpuan kepada kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair, dan penggiat seni, dengan harapan mencipta pengalaman seni yang lebih bermakna yang menampilkan karya-karya agung sastera dan seni visual.
“Program ini turut memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas.
“Ia juga berperanan sebagai medium untuk menghargai karya-karya lama, sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang,”katanya.
“Di samping itu, melibatkan pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara, termasuk Roman Buku Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, PORT di Ipoh, Perak, Persatuan Pelukis Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, dan Kotak Seni di Kelantan.
“Selain itu, Ambeng Art Space di Johor, Kumpulan Pelukis Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah, dan Haus KCH di Sarawak juga turut serta dalam menjayakan program ini,”katanya lagi.
“Setiap persatuan akan menganjurkan aktiviti kesenian seperti pameran, bengkel seni, malam puisi, dan persembahan seni, yang menyerlahkan keunikan seni dan sastera di setiap negeri.
“Terdapat juga pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya agung, memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni visual dan penulisan,”ujarnya.
“Manifestasi Dua Seni dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi.
“Pendekatan ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya, demi memperkukuh warisan seni negara, ”ujarnya lagi.
“Untuk maklumat lanjut mengenai jadual program, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari sesawang di www.artgallery.gov.my.
“Orang ramai, peminat seni visual dan sastera dijemput ke Balai Seni Negara untuk memeriahkan dan menghayati pameran yang sedang berlangsung ini sehingga Januari 2025,”tambahnya. – SUARA.TV