Kelantan tak dapat royalti minyak cuma wang ehsan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, berkata, ini kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Namun begitu katanya, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ehsan.

“Ia bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.

Pada 1 November lalu, Exco kerajaan Kelantan Dr Izani Husin turut membangkitkan soal pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan itu menggesa Putrajaya menghayati semangat perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan persekutuan pada 1975.

“Perjanjian ini bukan sama sekali untuk menghalang pembayaran kepada kerajaan negeri, dengan mengadakan syarat-syarat baru atau interpretasi baru seperti tiga batu nautika dari pesisir pantai,” beliau dilaporkan berkata.

Isu royalti petroleum sekian lama diperjuangkan kerajaan Kelantan termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan.

Meskipun PAS menyertai kerajaan persekutuan sejak Mac tahun lalu, isu royalti itu masih menjadi ‘duri’ dalam hubungan Putrajaya dan kerajaan Kelantan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat