Polis Kenal Pasti Dua Kumpulan Penyeludup Serang Anggota PGA

- Advertisement -

KANGAR – Polis mengenalpasti dua kumpulan penyeludup yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dua kumpulan terbabit dikesan aktif melakukan kegiatan penyeludupan dadah dan ketum di sekitar sempadan selain mereka dilaporkan turut memiliki senjata api.

Beliau berkata, polis sedang memburu dalang utama sindiket iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang dipercayai sedang bersembunyi.

“Pagi ini, kita sudah mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Wilayah Songkhla bagi membincangkan siasatan kes serangan dan memohon membawa empat penyeludup yang ditahan di Thailand dibawa balik ke Malaysia.

“Kita dimaklumkan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Thailand bagi mendapatkan kebenaran sebelum mereka dapat dibawa balik ke Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.

Surina berkata, operasi mengesan saki-baki kumpulan penyeludup yang terbabit dalam serangan dan rangkaian sindiket masih dilakukan anggota Batalion 3 PGA, Komando 69 (VAT69), Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri.

“Berdasarkan laporan forensik, kita mendapati senjata digunakan penyeludup dalam serangan adalah jenis shotgun dan setakat ini seramai 16 ahli rangkaian sindiket penyeludupan warga tempatan dan Thailand berjaya ditahan sekitar Felda Mata Ayer.

“Kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli rangkaian sindiket akan ditahan selain usaha juga sedang dilakukan bagi memburu lapan lagi penyeludup yang terbabit dalam serangan ke atas anggota PGA semalam,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan Sarjan Norihan Tari, 39, Surina berkata, anggota terbabit baru saja selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, Norihan akan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam tempoh terdekat bagi menjalani pembedahan mengeluarkan tiga peluru di perut dan berdekatan tulang belakang.

Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Norihan parah terkena tembakan pada kanan perut.

Sebelum itu, dua anggota PGA terbabit yang bersenjatakan pistol Walther P99 sempat melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah penyeludup menyebabkan tiga daripada mereka cedera. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat