KUALA LUMPUR, – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyambut baik dan menyokong penuh komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan kerangka perundangan baharu menerusi agenda One Higher Education Act (OHEA).
UPNM dalam satu kenyataan berkata, kerangka berkenaan yang berteraskan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilihat sebagai langkah progresif dan strategik dalam mentransformasikan ekosistem pengajian tinggi negara supaya kekal relevan, dinamik serta berdaya saing di peringkat global.
Menurut UPNM, penggubalan akta baharu itu bukan sahaja perlu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan pemerkasaan suara mahasiswa, malah pada masa sama memastikan aspek tadbir urus serta akauntabiliti universiti terus terpelihara.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang memegang niche strategik dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, UPNM bersedia untuk terlibat secara aktif dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siri sesi libat urus, perbincangan meja bulat serta jawatankuasa penggubalan yang bakal dianjurkan oleh KPT,” menurut kenyataan itu.
UPNM turut menyatakan kesediaan menyumbang pandangan konstruktif selain kepakaran akademik dan perundangan strategik bagi menyokong pembentukan kerangka perundangan baharu yang inklusif, mantap dan holistik.
Universiti itu yakin pendekatan inklusif yang diterajui KPT mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang berintegriti, berdaya tahan dan beradab tinggi.
Ia seterusnya diyakini dapat melahirkan generasi yang berupaya menyumbang secara holistik kepada pembangunan serta kedaulatan Malaysia.



