Tiga Sekawan Warga Emas Ditahan, 841 Kg Dadah Bernilai RM30 Juta Dirampas – Polis

- Advertisement -

BENTONG – Tiga sekawan warga emas yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah ditahan, manakala 841.06 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM30.8 juta dirampas.

Ketiga-tiga suspek berusia 61, 62 dan 63 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan kampung Bukit Tinggi, di sini, dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), antara 9 hingga 11 malam, 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan ketiga-tiga suspek membawa kepada penemuan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong, yang dijadikan stor sindiket berkenaan.

“Sindiket itu menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke pasaran antarabangsa disyaki ke negara serantau selain pasaran tempatan.

“Sindiket ini dipercayai sudah bermula sejak awal tahun ini yang mana ketiga-tiga suspek adalah kenalan lama dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah di sini sebagai tempat simpanan dan bungkusan sebelum diedarkan,” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPF) Bentong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 841.06 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM30.8 juta dirampas, dan jumlah keseluruhan dadah dirampas ini boleh digunakan oleh 4,250,000 penagih.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menemui sepucuk pistol jenis glock ditemui di dalam kereta suspek serta satu laras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru.

Selain itu katanya, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru 12 bore, dan dua batang besi barrel turut ditemui di dalam rumah yang dijadikan stor sindiket.

“Dari siasatan kami mendapati senjata yang dirampas kemungkinan digunakan sebagai jaminan kepada suspek dalam melakukan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Nissan Sunny dianggarkan bernilai RM5,000, wang tunai berjumlah RM1,564 dan wang di dalam akaun bank RM6,623.65,” katanya.

Ramli berkata, siasatan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka yang juga warga tempatan itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama berusia 61 tahun dan suspek ketiga berusia 63 tahun bekerja sebagai pekebun durian manakala suspek kedua berusia 62 tahun adalah penganggur.

“Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos depan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek bukan dalang sindiket ini dan pihak JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat