KUALA PILAH- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berulang kali menegaskan bahawa kemenangan ‘gelombang biru’ yang bermula di Johor dan dijangka akan merebak ke Negeri Sembilan dan seterusnya Melaka tidak akan mengheret kepada insiden tebuk atap di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberi jaminan bahawa parti yang dipimpinnya akan kekal mendukung Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dijayakan BN-Pakatan Harapan (PH).
“Saya memberi jaminan, ditakdirkan Allah SWT mengizinkan kita (BN) tukar Kerajaan Negeri Sembilan ini supaya lebih efisien, supaya lebih berkesan, saya akan pastikan Menteri Besar baru, kerajaan baru, insya-Allah kerajaan biru, saya akan pastikan terus menjalin kerjasama dan selari dengan Kerajaan Pusat.
“Saya nak menyatakan gelombang biru ni bermula di Johor, ia akan merebak ke Negeri Sembilan, Insya-Allah akan merebak ke Melaka. Adakah dengan perebakan itu kita nak tebuk atap? Kita tidak berhasrat untuk tebuk atap! Kita dukung Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal. Itu janji kita.
“Salah tak? Tak salah. Wartawan ramai ni. Saya ulang banyak kali kenyataan ini, ertinya saya konsisten, saya istiqamah dalam perkara ini.
“Oleh sebab itu, yang sana di Pusat kita sokong, kerajaan negeri kita tukar! Bukan kita benci, tetapi kita mahu kerajaan negeri ditadbir oleh Barisan Nasional dengan lebih baik lagi.
“Tujuannya untuk apa? Ya bukan kita tak suka dengan Datuk Seri Aminuddin Harun. Dia orang baik, dia pun macam keluarga saya jugalah. Ini soal lain. Tapi kita mahu Negeri Sembilan ini menjadi negeri yang lebih baik,” tegas Zahid dalam ucapannya dalam Program Salam Agrikomoditi di Kuala Pilah pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu kenyataannya itu berasaskan fakta dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri-negeri lain seperti Selangor, Melaka dan Johor.
“Di Negeri Sembilan cuma 4.2 peratus. Di Johor pertumbuhannya 8 peratus. Ertinya Negeri Sembilan ni di bawah taraf atau tahap, di bawah tahap nasional.
“Sebab itu Barisan Nasional berhasrat tukar MB, tukar kerajaan negeri supaya pertumbuhan lebih baik. Saya bukan kempen, saya cakap fakta.
“Sebab ketika Datuk Seri Mohamad Hasan jadi Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar, dan Menteri Besar yang lain, ketika itu Negeri Sembilan antara negeri yang termaju di Semenanjung Malaysia ketika itu.
“Tetapi selama dua penggal apabila bertukar kepimpinan, bukan kerana Tok Min tak bagus. Dia bagus, dia orang lembut, dia memang orang baik. Orang baik tak cukup baik untuk memimpin sebuah negeri supaya negeri itu menjadi negeri yang terbaik, betul tak?
“Saya pun baik juga, tapi tak semestinya semua orang suka saya, betul tak? Macam-macam tuduh kat saya, 47 lah, salam 47. Rupa-rupanya salam 48 di Johor. Baru tahu. Jadi dalam keadaan itu, kita… kita haraplah tuan-tuan dan puan-puan, jangan buat silap sekali lagilah,” seru Zahid.



