Samsuri kesal Bersatu suarakan bantahan di ruang awam bukannya ketika mesyuarat

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir bukannya menyuarakan bantahan ketika mesyuarat berlangsung.

Hal ini dipercayai terkait bantahan Bersatu terhadap penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang dinamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang heboh diperkatakan usai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Saya mengambil maklum kenyataan media Naib Presiden Bersatu bertarikh 23 Jun 2026 berhubung beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Saya ingin menegaskan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.

“Justeru, setiap parti anggota, termasuk Bersatu, mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.

“Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya. PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.

“Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Samsuri berkata beliau bersyukur apabila proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN.

“Sehubungan itu, saya telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

“Kini adalah masanya untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.

“Keutamaan kita ialah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor,” ujar Menteri Besar Terengganu itu lagi.

Mengenai penggunaan simbol PN dalam PRN Johor, Samsuri menegaskan bahawa penggunaan simbol PN datang bersama tanggungjawab politik.

“Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” pesan beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat