8 juta liter sehari jualan runcit diesel menurun minggu pertama penyasaran subsidi -MOF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus pada minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga bahan bakar itu berbanding minggu sebelumnya.

Jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari dalam tempoh sama.

Ia memberi gambaran bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara maklumat yang diterima adalah jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus sejak pelaksanaan harga diesel di Semenanjung.

Menurut beliau, situasi itu mengesahkan sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan.

“Trend peningkatan jualan diesel komersial pula menggambarkan tanda posi­tif bahawa ketirisan diesel bersubsidi sudah berkurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Dewan Rakyat, semalam.

Harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu dan kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan melaksanakan Op Tiris 3.0 yang mana 570 kes dikendalikan melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak lebih 5.1 juta liter dengan anggaran nilai hampir RM12 juta setakat 22 Jun lalu.

Kata beliau, operasi tersebut melibatkan RM46 juta nilai rampasan aset serta peralatan dan 275 tangkapan ke atas individu-individu terlibat.

“Susulan keputusan menyasarkan subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga menggerakkan Op Kesan 2.0 seawal 2 Mei lalu bagi memantau impak pelaksanaan serta memastikan tiada elemen pencatutan berlaku selaras dengan undang-udang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Setakat 20 Jun lepas, sebanyak 2,100 premis diperiksa di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 210 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak tujuh kes telah dikenal pasti hasil pelaksanaan operasi berkenaan. Analisis pencatutan akan disediakan bagi tujuan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut terhadap notis-notis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan dijangka meraih penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Katanya, penjimatan tersebut akan dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

“Perlu juga untuk ditekankan bahawa berbanding dengan kos subsidi diesel RM14 bilion tahun 2023, penjimatan RM4 bilion setahun bermakna kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion.

“Antaranya untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak (RM3 bilion), subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik di Semenanjung Malaysia (RM4 bilion), bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi (RM2 bilion) serta subsidi diesel nelayan (RM1 bilion).

“Maknanya, walaupun kerajaan mengambil langkah menyasarkan subsidi bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan tetapi golongan yang memerlukan akan terus menerima bantuan dan subsidi diesel,” katanya lapor Utusan.

Kata beliau, ekonomi negara masih mencapai unjuran rasmi kerajaan terhadap kadar inflasi tahun ini iaitu antara dua peratus hingga 3.5 peratus dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara empat ke lima peratus.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat