KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 di seluruh negara bermula 1 Jun 2026 sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan tenaga negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil import.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu taklimat media memaklumkan, pelaksanaan B15 turut menjadi sebahagian agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
Menurut kementerian itu, Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak 2006 telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan B5 dan B7 sebelum diperluaskan kepada B10 dan B20 di beberapa kawasan tertentu.
Melalui pelaksanaan B15, penggunaan biodiesel sawit dalam sektor pengangkutan dijangka membantu mengurangkan pelepasan karbon, memperkukuh penggunaan sumber domestik serta menyokong kestabilan industri sawit tempatan.
Berdasarkan slaid taklimat media, penggunaan minyak sawit mentah (CPO) bagi program biodiesel dijangka meningkat secara ketara seiring peningkatan mandat biodiesel negara.
Bagi mandat B5, penggunaan CPO dianggarkan sekitar 0.260 juta tan metrik setahun sebelum meningkat kepada 0.534 juta tan metrik bagi B10 dan 0.801 juta tan metrik untuk B15.
Pelaksanaan B20 pula dijangka memerlukan sekitar 1.068 juta tan metrik CPO setahun.
KPK turut menjelaskan pelaksanaan B15 dilakukan secara terancang dengan mengambil kira kesiapsiagaan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur sedia ada menerusi sesi libat urus bersama syarikat petroleum serta agensi berkaitan.
Selain itu, penggunaan biodiesel sehingga B20 telah melalui pelbagai kajian teknikal, ujian lapangan dan projek rintis oleh Malaysian Palm Oil Board (MPOB) bersama industri, universiti dan pemain automotif bagi memastikan tahap keselamatan serta kesesuaian terhadap enjin diesel.
Menurut taklimat itu lagi, bekalan diesel di nozel biru akan kekal menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 akan melibatkan bekalan diesel di nozel hitam secara berperingkat mengikut kawasan yang ditetapkan.
Pada masa sama, negara kini mempunyai 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh Malaysia bagi menyokong pelaksanaan program tersebut, selain kapasiti pengeluaran biodiesel nasional sebanyak 2.65 juta tan dengan 19 pengeluar aktif termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Dr. Noraini Ahmad berkata, kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan B15 berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhan. -SuaraTV



