Rekod Tertinggi 7,289 Kes Baru Covid, 60 Kematian Dilaporkan Hari Ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia sekali lagi mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 7,289 hari ini. Kes tertinggi sebelum ini dilaporkan pada Ahad lalu iaitu 6,976.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 525,889. Daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, 2,642 dikesan di Selangor dan diikuti Johor (664); Kuala Lumpur (604) serta Sarawak (513).

“Semua negeri mencatatkan pertambahan kes hari ini dan hanya Perlis mencatatkan kes terendah iaitu lapan. Hingga kini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah sebanyak 63,458.

“Daripada jumlah kes aktif berkenaan, 726 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 373 kes masih memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan hingga jam 12 tengah hari ini terdapat 60 kes kematian yang dilaporkan membabitkan 59 warganegara manakala seorang warga asing.

“Sebanyak 15 kes kematian dikesan di Selangor, 10 di Johor, masing-masing enam kes di Sarawak dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta dua kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Melaka manakala masing-masing satu kes di Pahang dan Terengganu.

“Ia membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 93 tahun. Pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 2,369,” katanya.

KKM hari ini turut mengesan 15 kluster baharu membabitkan 10 di tempat kerja, empat dalam kalangan komuniti manakala satu keagamaan.

Antara kluster komuniti yang dikesan hari membabitkan majlis sambutan perayaan yang dikenali sebagai Kluster Tahir Manan di Kuala Selangor serta sudah menjangkiti 24 kes.

Turut dikesan ialah Kluster Selendang di Kuala Selangor membabitkan majlis pengebumian serta sudah menjangkiti 12 kes. Selain itu ialah Kluster Jalan Dato Permaisuri (Miri) menjangkiti 31 kes serta Kluster Jalan Sekuntum (Johor Bahru) menjangkiti 17 kes.

Bagi kluster di tempat kerja ia dikenali Kluster Perusahaan Maju Enam (Seberang Perai Tengah) yang sudah menjangkiti sembilan kes; Kluster Jalan Cemerlang Elektrik (Johor Bahru) menjangkiti 18 kes serta Kluster Tapak Bina Persiaran Setia Dagang (Petaling) menjangkiti tujuh kes.

“Selain itu ialah Kluster Jalan Enam Selatan 1A (Sepang, Petaling dan Kuala Langat) menjangkiti 18 kes; Kluster Kalabakan Selatan (Kalabakan) menjangkiti 22 kes serta Kluster Jalan Segambut Lentang (Titiwangsa dan Kepong) menjangkiti 24 kes.

“Empat lagi kluster di tempat kerja ialah Kluster Dah Charok Bemban (Baling dan Sik) menjangkiti 34 kes; Kluster Industri Kledang Satu (Kinta) menjangkiti 21 kes; Kluster Sungai Isap Perdana (Kuantan dan Hulu Langat) menjangkiti 60 kes serta Kluster Tasek Raja (Kelantan) menjangkiti 34 kes,” katanya.

Bagi kluster keagamaan ia dikenali sebagai Kluster Desa Pinggiran Putra di Sepang yang kini sudah menjangkiti 18 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan hingga jam 12 tengah hari ini tadi terdapat 3,789 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya di negara ini sebanyak 460,062 kes. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat