Fenomena ‘Bulan Berdarah’ Boleh Dilihat Petang Esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ bermula sekitar jam 4.47 petang esok dan dijangka berakhir kira-kira jam 9.50 malam.

Fenomena itu muncul semula selepas kali terakhir kelihatan pada 2018.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Azlikamil Napiah berkata, fasa penuh fenomena gerhana ‘Super Flower Blood Moon’ boleh dilihat di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan proses ‘pembentukan’ fenomena gerhana itu lebih awal.

“Fenomena gerhana bulan pada esok (26 Mei) akan berlaku selepas bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309 kilometer (km).

“Fenomena gerhana bulan penuh ini akan berlaku mulai jam 16.47 dan berakhir pada jam 21.50 waktu Malaysia.

“Masyarakat di negara ini berpeluang menyaksikan fenomena itu ketika ia sudah mencapai fasa gerhana separa bagi penduduk di Sabah dan Sarawak. Manakala, bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena itu hanya kelihatan ketika fasa gerhana sudah maksimum,” katanya pada kenyataan hari ini.

Selain boleh disaksikan secara penuh di Semenanjung Malaysia, Azlikamil berkata, ia boleh dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan kepulauan pasifik termasuk Hawaii.

Berikutan kekangan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau mengajak orang ramai untuk penstriman langsung gerhana Super Flower Blood Moon esok menerusi Facebook dan YouTube Planetarium Negara.

Tambahnya, kemudahan teleskop untuk kegunaan orang ramai bagi menyaksikan fenomena itu tidak akan disediakan.

“Kemudahan teleskop tidak akan dibuka untuk orang ramai di Planetarium Negara kerana situasi negara yang sedang melaksanakan PKP,” katanya.

Berdasarkan maklumat mengenai fenomena gerhana penuh yang dimuatnaik MYSA di akaun Instagram, ia berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.

KETERANGAN FASA KENAMPAKAN DI MALAYSIA

1. Sekitar jam 4.47 petang

Fasa gerhana penumbra (P1)

• Bulan mula memasuki penumbra.

• Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

2. Sekitar jam 5.44 petang

Fasa gerhana separa bermula (U1)

• Bulan mula memasuki umbra

• Tidak kelihatan kerana bulan berada di bawah ufuk

3. Sekitar jam 7.11 petang

Fasa gerhana penuh bermula (U2)

• Bulan mula mengalami fasa gerhana penuh

• Boleh dilihat di Sabah dan Sarawak sahaja ketika bulan terbit dan rendah di ufuk timur.

4. Sekitar jam 7.19 petang

Maksimum

• Gerhana maksimum

• Boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur

5. Sekitar jam 7.25 petang

Fasa gerhana penuh tamat (U3)

• Bulan mula keluar dari umbra

• Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

6. Sekitar jam 8.52 malam

Fasa gerhana separa tamat (U4)

• Bulan keluar sepenuhnya dari umbra

• Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

7. Sekitar jam 9.49 malam

Fasa gerhana penumbra tamat (P4)

• Bulan keluar sepenuhnya dari penumbra

• Boleh dilihat kerana bulan berada di atas ufuk

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat