Nur Jazlan Umum Tidak Bertanding PRU15

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan beliau tidak akan bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, antara faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut adalah kerana peratusan pengundi Barisan Nasional (BN) sudah semakin berkurangan.

Sehubungan itu katanya, BN perlu mencari calon lain yang bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

“Kita perlu akui, antara faktor BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peratusan keluar mengundi yang rendah, namun jika peratusan keluar melebihi 70 peratus belum tentu kita boleh menang (Parlimen Pulai) khususnya dalam PRU.

“Jadi saya nak beritahu kawan-kawan di sini, saya tidak akan bertanding dalam PRU akan datang, saya tidak bertanding kerana saya tahu apa keputusannya. Ada orang mungkin gembira apabila saya buat keputusan ini sebab saya sudah lama jadi Ketua Bahagian, jadi saya berundur. Saya bukan cuba hendak dapatkan simpati tetapi saya beritahu realiti,” katanya berucap dalam Majlis Kesyukuran BN Sempena PRN Johor malam tadi.

Tambahnya, keputusan tersebut dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

“Keputusan ini juga dibuat kerana saya tidak akan dapat menanggung malu sekiranya tewas buat kali kedua berturut-turut dalam kawasan Parlimen yang saya telah berkhidmat selama lebih 20 tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan bagaimanapun menegaskan akan terus memberi sokongan kepada calon yang bakal menggantikan tempatnya di Parlimen berkenaan dalam PRU-15 akan datang.

“Walaupun sudah buat keputusan tidak akan bertanding, saya dan pasukan akan tetap memastikan sokongan padu diberi kepada calon-calon kita,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, corak pengundian masyarakat Johor Bahru sudah berubah dan mereka terikut-ikut corak pengundian masyarakat yang duduk di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.

“Pengundi Johor Bahru sudah buat keputusan seperti pengundi di KL, ini kerana semua infrastruktur asas sudah lengkap dan mereka tidak lagi mahukan individu tempatan yang boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat memilih calon berdasarkan kriteria masing-masing. Itu antara sebab Liew Chin Tong boleh menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, sedangkan dia bukan orang Johor Bahru, tidak pernah berkhidmat di sini tetapi boleh menang,” katanya.

Nur Jazlan dalam ucapannya turut meluahkan kekecewaan berhubung pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu apabila mengatakan walaupun BN sudah menang 40 kerusi, mereka tetap tidak boleh menamakan calon bagi jawatan berkenaan.

-UTUSAN

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat