KPKM hanya boleh sediakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan untuk tanam durian bukan geran tanah – Arthur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menyokong kepada mana-mana pengusaha yang ingin melaksanakan penanaman durian berskala besar.

Walau bagaimanapun, kuasa untuk mengeluarkan geran tanah terletak di bawah bidang kuasa negeri

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kuasa untuk mengeluarkan geran tanah terletak di bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi membantu pengusaha tanaman durian di Negeri Pahang, Jabatan Pertanian (DOA) turut menyediakan kawasan dalam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi penanaman durian.

“Sepanjang RMKe-12, KPKM melalui Jabatan Pertanian telah menyediakan insentif bagi tanaman durian di bawah Projek Pembangunan Tanaman Buah-buahan Jangka Panjang. Bagi tahun 2021 hingga 2024, seramai 4,762 orang telah menerima manfaat seperti pembangunan infrastruktur ladang, input pertanian serta peralatan ladang daripada program ini.

“Bagi menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran bahan makanan termasuk durian, KPKM menawarkan Insentif Cukai Galakan Pengeluaran Bahan Makanan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai suntikan kepada syarikat pelaksana dan pelabur untuk melaksanakan projek huluan (upstream) sektor agromakanan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Arthur lagi, insentif cukai ini melayakkan syarikat mendapat manfaat pengecualian 100 peratus cukai pendapatan perniagaan sehingga 10 tahun dan potongan cukai pendapatan berdasarkan perbelanjaan modal yang layak.

Ujarnya, sebelum memulakan projek tanaman durian mahupun pembesaran projek tanaman durian, pengusaha boleh membuat permohonan insentif ini kepada KPKM.

Beliau berkata demikian menjawab (DAP-Raub) Chow Yu Hui yang bertanyakan apakah langkah kerajaan dalam membantu pekebun durian terutamanya mereka yang tidak memiliki geran tanah, untuk mendapatkan geran tanah bagi kebun mereka dan adakah kerajaan menyediakan subsidi atau inisiatif khusus bagi golongan muda yang
ingin menceburi pertanian durian yang berpotensi tinggi ini termasuk sambutan durian Malaysia di pasaran China dan cabaran utama yang dijangka akan dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing.

Menurut Arthur, berdasarkan tinjauan oleh Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Beijing, durian segar Malaysia telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di pasaran China, di mana populariti durian Malaysia dianggap sebagai premium.

“Durian dari Malaysia kini boleh didapati di 16 buah wilayah di China, antaranya di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Tianjin dan Chengdu.

“Pejabat Penasihat Pertanian Beijing juga aktif melaksanakan aktiviti promosi kepada pengguna di China untuk mengenali ciri-ciri dan kelebihan pelbagai varieti durian dari
Malaysia,” jelas beliau.

Kata beliau lagi, antara cabaran utama yang dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar ialah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan.

“Pada masa ini, durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong. Saiz pasaran durian segar di China pada tahun 2023 adalah bernilai RM32 bilion.

“Namun, permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran semasa. Bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian, kebiasaannya dua kali setahun; tempoh kesegaran (shelf life) durian segar yang pendek: Durian yang dituai perlu dieksport dengan segera dan dipasarkan dalam tempoh tiga ke empat hari bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti.

“Ini berbeza dengan durian segar dari Thailand dan Vietnam yang mempunyai tempoh kesegaran yang lebih lama sehingga 25 hari kerana amalan penuaian sebelum tempoh matang; dan kos logistik: Pengeksportan durian segar ke China dalam tempoh segera memerlukan pengangkutan udara pada suhu yang rendah menyebabkan kos penghantaran yang lebih tinggi berbanding durian segar dari Thailand dan Vietnam yang dihantar melalui jalan darat,” hurainya.

Arthur juga memaklumkan, walaupun terdapat beberapa cabaran terhadap pengeksportan durian segar, KPKM yakin durian segar dari Malaysia yang berada dalam segmen premium mampu bersaing dan terus berkembang di pasaran China.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat