Bubar Parlimen, PRU tidak boleh berlaku sepanjang darurat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bersandarkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tiada pilihan raya umum (PRU) atau kecil (PRK) boleh diadakan walaupun Parlimen kini dibenarkan untuk bersidang.

Memetik laporan Berita Harian, Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UAIM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata kuasa Parlimen ketika darurat perlu dibaca bersama Seksyen 12 ordinan itu yang mengandungi peruntukan berkenaan, manakala Seksyen 14 tidak membenarkan Parlimen dibubar.

“Selain daripada perkara itu, pada pandangan saya, Parlimen boleh menjalankan fungsi biasanya. Ia tidak hanya terbatas untuk berbahas titah Yang di-Pertuan Agong saja.

“Bagaimanapun, jika ada Ordinan Darurat lain diluluskan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurangkan fungsi Parlimen, maka sidang Parlimen akan tertakluk kepada sekatan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kuasa Parlimen ketika bersidang dalam tempoh darurat, susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam Parlimen boleh bersidang sepanjang tempoh darurat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Nik Ahmad Kamal turut mengulas sub perenggan 14(1)(b) itu, yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen pada masa yang sesuai.

“Adakah ia bermaksud masa darurat sekarang atau selepas darurat tamat? Seksyen 14 perlu dibaca dalam konteks keseluruhan Ordinan yang melarang persidangan Parlimen dan peruntukan mengenai prorog dan pembubaran tidak terpakai.

“Seksyen 14(1)(b) memberi budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan sama ada Parlimen boleh bubar atau tidak. Jika dibubarkan ketika ini, ia kelihatan tidak konsisten dengan keseluruhan Ordinan 2021.

“Pada masa sama, tidak boleh dinafikan Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara keseluruhan dalam konteks Parlimen di bawah seksyen itu,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dikemukakan selagi tiada sekatan kepada urusan biasa Parlimen oleh apa-apa Ordinan Darurat.

“Bagaimanapun, jika usul undi tidak percaya mendapat sokongan majoriti, Parlimen tidak boleh dibubar.

“Kemungkinan Yang di-Pertuan Agong akan melantik kerajaan dan Perdana Menteri interim sehingga tamat darurat, ketika itu Parlimen boleh dibubar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat