Penyanyi bersuara lantang, Amir Masdi kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air dengan single terbarunya, Bakal Kekasih, bukan sekadar kerana kisah cinta yang tersirat di dalamnya, tetapi lebih utama transformasi muzik yang berani dan segar.
Dikenali dengan vokal dinamik dan pembawaan lagu-lagu balada serta pop rock sebelum ini, Bakal Kekasih menandakan langkah berani Amir menyelami genre ‘rock and roll’ klasik satu pendekatan yang jarang sekali dipelopori oleh artis arus perdana Malaysia masa kini.
“Saya memang nak satu lagu ‘rock and roll’ yang ada ‘fun energy’, yang lain daripada apa saya pernah buat. Lagu ni memang dah lama saya tulis, tapi baru sekarang rasa masa yang sesuai nak hidupkan semula,” kongsi Amir mengenai proses kreatifnya.
Lagu ini merupakan kerjasama sulungnya bersama komposer legenda Edry Abdul Halim dalam genre ini, yang banyak membantu mengasah idea asal Amir menjadi karya penuh jiwa dan ritma retro yang menggamit kenangan.
Dalam dunia muzik tempatan yang sering dibanjiri dengan balada dan pop moden, kemunculan Bakal Kekasih membawa sentuhan klasik dengan nafas moden — mengimbau era keemasan rock and roll tetapi dengan susunan muzik yang segar dan mesra pendengar masa kini.
“Saya percaya genre ni ada peminat tersendiri yang selama ni mungkin belum puas dengan pilihan yang ada. Saya cuba isi kekosongan tu dengan sesuatu yang seronok, bertenaga dan boleh buat orang senyum sambil dengar,” tambahnya.

Amir mengakui Bakal Kekasih bukan hanya ekspresi perasaan suka kepada seseorang, tetapi juga cerminan kepada evolusi dirinya sebagai anak seni yang tidak takut keluar dari zon selesa.
Video muzik Bakal Kekasih, yang dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, turut mengangkat konsep ‘teenage love’ ala High School Musical, lengkap dengan suasana santai, warna-warni dan gaya vintaj yang jarang diketengahkan oleh artis tempatan.
Konsep visual ini menyerlahkan lagi sisi ceria Amir yang mungkin selama ini tersembunyi di balik imej penyanyi serius dan bertenaga di pentas.
Bagi Amir, Bakal Kekasih bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi turut menjadi medium bagi pendengar terutamanya mereka yang menyimpan perasaan untuk meluahkan rasa tanpa kata.
“Kalau malu nak confess, guna lagu ni pun cukup. Lagu ni memang ‘straight to the point’, tapi dalam cara yang manis dan menyeronokkan,” katanya berseloroh.
Sebagai single keempat dalam album A.M P.M (Side A.M) selepas Nur Cinta, Calar dan Langit Biru, Bakal Kekasih menandakan kepelbagaian warna dalam karya Amir, memperlihatkan kematangan dari segi pemilihan genre, penulisan lirik, serta identiti artistiknya.
Dengan penerimaan hangat peminat terhadap arah muzik barunya ini, Bakal Kekasih dijangka akan membuka lebih banyak ruang untuk Amir terus bereksperimen dan memperluas horizon seninya tanpa mengorbankan keaslian yang menjadikan namanya kekal relevan.
“Bakal Kekasih” kini boleh distrim di semua platform muzik digital. Tonton video muzik rasmi di YouTube AR United Music di pautan berikut:



