Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah terus komited dalam memajukan sektor pertanian terutamanya dalam sektor padi, yang merupakan nadi utama dan sinonim dengan negeri ini.
Antara program yang telah dijalankan adalah mengusahakan semula sawah-sawah terbiar di sekitar negeri ini , melalui usahasama dengan syarikat syarikat tempatan serta luar negara.
EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, Hj. Dzowahir Ab. Ghani berkata syarikat – syarikat ini berperanan membawa masuk teknologi baru seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan dron berteknologi canggih dan IoT yang mampu menarik minat anak muda ke dalam sektor pertanian.
Dzowahir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel & Convention Centre, dekat sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan)Dato’ Hj. Mohd Fauzi Mustaffa; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Kedah, Nadia Marzuki.
Dzowahir berkata penyertaan anak muda digalakkan lagi melalui program ‘Agropreneur Muda’, Starter Kit dan latihan teknikal yang disediakan oleh jabatan-jabatan kerajaan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan warga emas dalam sektor pertanian, dominasi mereka turut menandakan cabaran besar kepada negara amnya dan kepada negeri Kedah khususnya dalam memastikan kesinambungan generasi muda dalam bidang pertanian.
Menurut beliau kebergantungan yang berterusan kepada warga emas turut memberi implikasi jangka panjang, termasuk risiko penurunan produktiviti akibat faktor usia, kesihatan, serta kekangan penggunaan teknologi moden.
Sekiranya tiada pelan peralihan tenaga kerja yang menyeluruh dan inklusif, keterjaminan makanan negara boleh terjejas apabila golongan ini tidak lagi mampu aktif dalam sektor pertanian.
Amat penting untuk mengiktiraf sumbangan mereka, tetapi dalam masa yang sama, kita perlu merangka strategi untuk menarik minat generasi muda melalui pendekatan yang lebih progresif, berteknologi tinggi dan berdaya saing.
Katanya, pemeliharaan hutan tadahan air pula bagi memastikan pertanian lestari dan menstabilkan pendapatan petani.
Fokus utama pembangunan sektor pertanian Kedah menjelang 2035 adalah penerapan pertanian pintar dan teknologi hijau.
“Konsep agro- pelancongan turut diketengahkan, menerusi pendekatan ‘farm-to-tourism’ seperti lawatan ke sawah padi dan aktiviti ladang yang membuka peluang baharu kepada petani menjana pendapatan sampingan.
“Sektor pertanian negara memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara,”katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata banci ini penting bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara.
Data ini akan digunakan sebagai penanda aras baharu dalam penyediaan indikator pertanian bagi tujuan perancangan industri pertanian di Malaysia.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata penemuan banci ini dapat menilai kedudukan sektor pertanian dan bagaimana ia dapat menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“Dengan adanya data yang lengkap dan terkini, kerajaan serta pihak berkepentingan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dalam merangka pelan dasar dan strategi pembangunan sektor pertanian dengan lebih berkesan.
“DOSM telah menerbitkan 15 laporan Interim merangkumi laporan interim bagi sektor pertanian yang memaparkan statistik bagi keseluruhan sektor pertanian dan lima subsektor iaitu Tanaman (Agrikomoditi dan Agromakanan), Ternakan, Perikanan, Akuakultur dan Perhutanan & Pembalakan.
“Selebihnya 14 Laporan Interim Banci Pertanian 2024 khusus Kelapa Sawit; Getah; Padi; Nanas; Kenaf; Koko; Lada; Buah-Buahan; Sayur- Sayuran; Tanaman Lain; Ternakan; Perikanan; Akuakultur dan Perhutanan & Pembalakan.
“Kandungan laporan ini meliputi enam parameter utama iaitu profil pengusaha pertanian, keluasan bertanam, keluasan bertuai, kuantiti pengeluaran, kuantiti jualan dan nilai jualan,”katanya.
“Dalam usaha memperkukuh pengurusan data pertanian secara bersepadu melalui pendigitalan, DOSM telah membangunkan sistem TaniStats (Sistem Integrasi Pangkalan Data Digital Pertanian).
“Inisiatif ini selaras dengan dasar keterbukaan dan perkongsian data rasmi di portal kerajaan dan berfungsi sebagai ‘game changer’ dalam pengumpulan serta integrasi data pertanian negara.
“TaniStats menggabungkan pelbagai data penting daripada agensi kerajaan serta pemain utama dalam sektor pertanian, antaranya data Banci Pertanian 2024, statistik sektor huluan dan hiliran, indikator keterjaminan makanan, papan pemuka MyAgroPrice dan statistik pertanian lain.
“Sistem ini berperanan sebagai hab sehenti yang menyediakan data pertanian secara menyeluruh, tepat masa dan boleh dipercayai.
“Ia akan dikemas kini secara berkala melalui kerjasama antara agensi dan dimanfaatkan untuk tujuan penggubalan dasar, perancangan pembangunan dan penilaian prestasi sektor pertanian,”katanya lagi.
Menurut beliau platform MyAgroPrice turut dibangunkan sebagai platform interaktif yang menyediakan maklumat harga produk pertanian terpilih di tiga peringkat rantaian bekalan iaitu ladang, borong dan runcit.
Maklumat ini boleh diakses mengikut negeri dan daerah pentadbiran terpilih dan berguna bagi pengguna untuk membuat keputusan kepenggunaan yang bijak serta membantu pembuat dasar merangka intervensi harga dan bekalan yang lebih efektif.
Liputan MyAgroPrice akan diperluaskan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penyedia data dan boleh diakses melalui pautan https://tanistats.dosm.gov.my/
Dalam pada itu, Laporan Interim Banci Pertanian Negeri Kedah 2024 mendedahkan bahawa nilai jualan sektor pertanian di Kedah berjumlah RM7.88 bilion.
Hasil bancian menunjukkan sejumlah 123,194 pengusaha pertanian terdiri daripada individu, mewakili 99.0 peratus (%) daripada keseluruhan pengusaha Pertanian di Kedah (124,431 pengusaha Pertanian).
Bakinya, sejumlah 1,237 (1.0%) adalah pengusaha pertanian melibatkan pertubuhan.
Walaupun Kedah terkenal sebagai ‘Jelapang Padi’ namun bilangan pengusaha pertanian tertinggi dicatatkan oleh aktiviti tanaman getah dengan bilangan seramai 58,344, diikuti oleh aktiviti tanaman padi (48,921); kelapa sawit (7,158) ; dan perikanan tangkapan (4,314).
Daerah Kubang Pasu mempunyai bilangan pengusaha pertanian tertinggi dengan catatan 19,472 pengusaha pertanian.
Kedua, adalah Pendang dengan catatan 17,130 pengusaha pertanian, diikuti Kota Setar dengan 14,750 pengusaha pertanian, Baling (13,752), Padang Terap (12,911), Sik (12,678), Kuala Muda (11,092), Pokok Sena (6,772) dan Yan (6,100).
Tiga daerah yang mempunyai pengusaha pertanian terendah adalah Kulim (4,157), Langkawi (3,357) dan Bandar Baharu (2,260).
Daripada keseluruhan pengusaha pertanian melibatkan individu, 61,886 mewakili 50.2 % terdiri daripada individu yang berumur 60 tahun dan ke atas diikuti oleh individu yang berumur 46 hingga 59 tahun (39,365 orang; 32.0%), 31 hingga 45 tahun (19,521 orang; 15.8%) dan 15 hingga 30 tahun (2,419 orang; 2.0%).
“Warga emas mendominasi dengan 50.2% pengusaha pertanian di negeri Kedah.
Kebanyakannya terlibat dalam subsektor tanaman getah seramai 30,142 pegangan pertanian, diikuti oleh tanaman padi (24,828 pegangan pertanian) dan tanaman kelapa sawit, (3,600 pegangan pertanian).
Lima daerah yang memberi sumbangan tertinggi kepada nilai jualan Sektor Pertanian adalah Kuala Muda (RM 1.27 bilion); Kubang Pasu (RM1.10 billion); Kota Setar (RM0.97 bilion) ; Langkawi (RM0.83 bilion); dan Kulim (RM0.72 bilion) .
Nilai jualan mengikut subsektor, subsektor tanaman mencatatkan jumlah tertinggi di Kedah dengan RM4.081 bilion, diikuti oleh subsektor ternakan sebanyak RM1.74 bilion dan perikanan tangkapan sebanyak RM1.52 bilion.
Subsektor akuakultur pula merekodkan nilai jualan sebanyak RM311.1 juta, manakala subsektor perhutanan dan pembalakan mencatatkan nilai terendah iaitu RM226.2 juta.
Jumlah keluasan bertanam di Kedah pada 2023, seluas 388.9 ribu hektar. Daripada jumlah tersebut, 296.5 ribu hektar adalah diusahakan oleh pengusaha pertanian individu manakala 92.4 ribu hektar oleh pengusaha pertanian pertubuhan.
Keluasan bertuai merekodkan 356.3 ribu hektar, di mana keluasan terbesar adalah daripada pengusaha pertanian individu dengan jumlah 283.1 ribu hektar.
“Kuantiti pengeluaran bagi subsektor tanaman mencatatkan jumlah kuantiti pengeluaran sebanyak 2,730,261.6 tan metrik.
Daripada jumlah tersebut, aktiviti kelapa sawit mencatatkan kuantiti pengeluaran tertinggi di Kedah dengan nilai 1,508,259.5 tan metrik meliputi 55.2 % dari keseluruhan kuantiti pengeluaran subsektor tanaman.
Seterusnya diikuti oleh aktiviti penanaman padi berjumlah 998,709.6 tan metrik (36.6%) dan aktiviti buah-buahan berjumlah 91,978.4 tan metrik (3.4%).
Bagi kuantiti jualan, corak yang sama di tunjukkan seperti kuantiti pengeluaran dengan aktiviti penanaman kelapa sawit menyumbang 60.0% atau 1,508,259.5 tan metrik, diikuti oleh aktiviti penanaman padi dengan 30.7% (771,805.0 tan metrik) dan aktiviti penanaman buah-buahan menyumbang 3.1 peratus (77,603.1 tan metrik).
Nilai jualan keseluruhan subsektor tanaman di negeri Kedah adalah berjumlah RM 4,081.87 juta.
“Kuantiti pengeluaran bagi subsektor ternakan hidup di negeri Kedah adalah sebanyak 137.9 juta ekor bagi haiwan hidup, manakala kuantiti pengeluaran bagi hasilan ternakan pula direkodkan dengan 351.13 juta biji telur, 831,016 liter susu segar dan 29,658 kilogram yang meliputi lain-lain hasilan.
Kuantiti jualan bagi hasilan ternakan mencatatkan 348.3 juta biji telur, 786,876 liter susu segar dan 27,772 kilogram lain- lain hasilan ternakan. Subsektor ternakan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.74 bilion.
Aktiviti perikanan tangkapan mencatatkan jumlah pengeluaran 129,448 tan metrik, tangkapan laut mendominasi dengan jumlah kuantiti jualan mencecah 128,899 tan metrik, bersamaan 99.9 peratus daripada keseluruhan pengeluaran.
Aktiviti perikanan darat pula mencatat jumlah yang jauh lebih kecil, iaitu 443 tan metrik atau hanya 0.1 peratus. Subsektor perikanan tangkapan merekodkan nilai jualan kategori zon laut sebanyak RM1,513.28 juta dan zon darat sebanyak RM6.75 juta.
Subsektor akuakultur di Kedah merekodkan kuantiti pengeluaran sebanyak 20,067.3 tan metrik meliputi air tawar dan air payau. Kuantiti jualan pula merekodkan sebanyak 18,701.3 tan metrik.
Manakala, bagi baka & benih dan ikan hiasan, kuantiti jualan yang dicatatkan adalah 71.61 juta ekor. Subsektor akuakultur pula mencatatkan nilai jualan sebanyak RM311.13 juta.
Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.
Malaysia buat julung kalinya telah menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 198 negara lain.
Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.
Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day), dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’ manakala Hari Statistik Dunia Keempat akan disambut pada 20 Oktober ini bertemakan ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.
OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my
-SUARA.TV



