Kelewatan Pengagihan BWI Mangsa Banjir Disebabkan Ada Tuntutan Meragukan – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kelewatan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir yang tidak berpindah berlaku, disebabkan terdapat tuntutan yang boleh dianggap meragukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menyentuh mengenai pengurusan pasca banjir ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata terdapat juga permohonan BWI yang tinggi diterima dari sesetengah negeri, iaitu sekali ganda daripada jumlah asal ditetapkan.

Katanya perkara tersebut berlaku disebabkan terdapat kes individu yang membuat tuntutan BWI, meskipun keadaan air di rumah hanya di paras buku lali dan kes mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementera (PPS), sebaliknya berada di rumah saudara masing-masing.

“Kita telah umumkan, mereka yang tidak berpindah tetapi terkesan akibat banjir akan diberikan bantuan, tetapi akhirnya terlalu ramai memohon dan ia agak meragukan.

“Oleh sebab itu, kita memerlukan tapisan daripada ketua kampung dan sebagainya…ada yang berpindah tetapi air baru takat buku lali di bawah rumah, mereka juga menuntut walau tiada kerugian dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri memaklumkan ketika ini, hampir 100 peratus mangsa banjir yang berpindah telah terima BWI, dan urusan pengagihan bantuan itu dijangka selesai dalam masa terdekat.

Pada 16 Dis 2021, Ismail Sabri mengumumkan yang kerajaan bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas, ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Ismail Sabri berkata pemberian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan, baucar Pembelian Barangan Elektrik dan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia juga telah mula diagihkan, bagi membantu mangsa banjir terjejas.

Mengenai tuntutan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 pula, beliau berkata terdapat juga individu yang membuat tuntutan, meskipun tidak mengalami sebarang kerugian ketika banjir melanda.

“Ada yang tuntut RM2,500 untuk beli barang rosak tetapi contohnya di Selangor, mereka tinggal di rumah pangsa di tingkat lima dan tiada barang rosak kerana air hanya di tingkat satu. Mereka juga buat tuntutan.

“Perkara ini yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan untuk kita sahkan tuntutan mereka. Alhamdulillah isu berkaitan banjir telah selesai dan masalah berbangkit sedang diuruskan dengan baik,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat