Ismail Sabri Gesa Atasi Pergolakan Di Myanmar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta agar keganasan terhadap orang awam di Myanmar dihentikan termasuk keperluan mendesak untuk meredakan keadaan di negara anggota bergolak itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Ismail Sabri menegaskan pendirian Malaysia agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan.

Ini jelasnya penting dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Perdana Menteri juga menekankan keperluan mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat Myanmar, dan menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.

“Perdana Menteri meminta agar bantuan kemanusiaan diteruskan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan rakan luar ASEAN.

“Malaysia menyokong pelantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas baharu,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Wisma Putra berkata Perdana Menteri mencadangkan langkah yang dicadangkan untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincangkan di peringkat Menteri Luar ASEAN dan pegawai kanan ASEAN.

“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera.

“Perdana Menteri menyatakan sokongan Malaysia terhadap jawatan pengerusi dan inisiatif Kemboja ke arah memajukan usaha membangunkan Komuniti Asean,” katanya.

Perkara itu dibangkitkan susulan permintaan Perdana Menteri Kemboja untuk mengadakan sidang video bersama Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Kemboja kerana menyandang jawatan pengerusi Asean untuk 2022.