Demi Kestabilan Negara, Jawatan Presiden Dan Timbalan Presiden UMNO Tidak Wajar Dipertandingkan

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Baru-baru ini heboh kedengaran dari kalangan sesetengah ahli UMNO yang mengatakan bahawa sudah tiba masanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dipertandingkan di dalam pemilihan parti tersebut.

Umum memahami sentiment sesetengah pihak dalam UMNO yang merasakan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terutamanya sebelum PRU-15 yang lepas telah mengudang ketidakpuashatian sesetengah “warlord kuno” UMNO, yang mana keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti tersebut tidak memihak kepada mereka.

Ada yang menggunakan alasan bahawa pemilihan akan datang ini perlu dipertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atas dasar untuk tidak menyekat amalan demokrasi di dalam parti tersebut.

Keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti tersebut bukanlah sesuatu yang asing kerana pada Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2017 parti tersebut turut mengambil pendekatan yang sama.

Sebelum pemilihan UMNO 2018 yang memperlihatkan pertandingan untuk merebut jawatan presiden dimenangi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kali terakhir jawatan tersebut dipertandingkan adalah pada tahun 1987 yang menyaksikan perebutan jawatan antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan penyandang, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membawa kepada perpecahan yang amat dasyat kepada UMNO.

Jawatan nombor satu parti itu hampir dicabar sekali lagi apabila Tengku Razaleigh dicalonkan untuk bertanding pada pemilihan September 2013, mencabar Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak, yang mana di saat akhir Tengku Razaleigh tidak memfailkan borang pencalonan jawatan tertinggi itu, sekali gus membolehkan Najib menang tanpa bertanding.

Jelas di sini, UMNO perlu sedar bahawa tindakan untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi tersebut adalah suatu perkara yang telah menjadi amalan parti tersebut dan bukanlah satu perkara baharu yang perlu dikhuatiri oleh mana-mana ahli UMNO.

Pada ketika negara sedang berada di dalam fasa pertukaran pemerintahan, yang mana UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah, perkara pokok yang perlu diberi penekanan adalah kestabilan negara yang mungkin akan terkesan akibat daripada pemilihan ini.

Situasi yang dihadapi oleh UMNO pada ketika ini tidak sama sepertimana yang dihadapi oleh mereka pada tahun 2018 apabila Barisan Nasional yang pada ketika itu diketuai oleh UMNO telah menjadi pembangkang dan Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Presiden UMNO telah meletakkan jawatan, sehingga mewujudkan kekosongan kuasa yang perlu diisi oleh pemimin UMNO yang lain.

Isu yang perlu difikirkan oleh pemimpin dan ahli UMNO pada ketika ini adalah kestabilan negara yang perlu dicapai bagi memastikan negara kita tidak lagi terpalit dengan kepincangan politik dan usaha kita untuk tidak menjadikan acara angkat sumpah Perdana Menteri sebagai acara tahunan yang meragut kemurnian imej negara di mata dunia.

Bagi golongan di dalam UMNO yang risau kononnya amalan demokrasi tidak akan subur sekiranya UMNO tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi tersebut, adalah penting untuk mereka fahami bahawa ada masanya penangguhan terhadap apa-apa pemilihan ketua itu perlu dilakukan, terutamanya apabila berlaku situasi-situasi genting yang memerlukan kepimpinan tunggal yang stabil.

Sejarah Empayar Rome yang merupakan asal kepada konsep demokrasi yang kita amalkan pada hari ini turut mempunyai aplikasi yang sama. Mengambil contoh, pemimpin yang bernama Lucius Quinctius Cincinnatus telah diangkat menjadi Maharaja Rom untuk memerintah tanpa amalan demokrasi sebanyak dua kali apabila empayar tersebut berhadapan dengan musuh dari dalam dan luar negara.

Cincinnatus yang sehingga kini dianggap oleh sejarawan dunia sebagai simbol sifat baik (virtue) kaum Romawi itu adalah salah satu contoh di mana sekalipun demokrasi itu digantung buat sementara waktu, ianya tidak bermakna semangat demokrasi sesuatu negara (atau institusi) itu telah terkubur.

Dalam konteks kepimpinan di dalam UMNO pada ketika ini, sewajarnya ahli-ahli UMNO menumpukan usaha untuk memperkasakan parti dan berusaha untuk memperkukuhkan kerajaan campuran (perpaduan) yang telahpun dijalinkan bersama Pakatan Harapan.

Pada ketika ini, majoriti rakyat Malaysia mahukan kestabilan kerana setelah sekian lama kita berada dalam keadaan terumbang-ambing disebabkan oleh dua kerajaan terdahulu yang sering menyerang antara satu sama lain sehingga menyebabkan ketidakstabilan negara.

Nota: Penulis adalah peguambela dan peguamcara yang berkhidmat di Selangor.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,462FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat