KUKUSAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) bagi DUN N70 Kukusan, Samsiah Usman, yakin pengundi di kawasan tersebut akan terus memberi kepercayaan kepada GRS dalam menghadapi persaingan sengit melibatkan 10 penjuru.
Beliau berkata demikian ketika tampil dalam Podcast Suara TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang menampilkan barisan calon daripada pelbagai parti dan latar belakang bagi membincangkan hala tuju serta pendekatan mereka kepada rakyat.
Menurut Samsiah, keyakinan itu bersandarkan kepada usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini, termasuk kelulusan pewartaan tanah membabitkan empat buah kampung utama di Kukusan.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sri Menanti, Kampung Sentosa Blok 4, Kampung Sentosa Blok 5 dan Kampung Epot Lama, melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 88.42 hektar serta memberi manfaat kepada hampir 10,000 orang penduduk.
Selain itu, beliau turut menjadikan penambahbaikan kemudahan asas sebagai fokus utama jika diberi mandat, termasuk pembaikan jalan kampung yang rosak, sistem perparitan, pembinaan balai raya serta pembesaran dan penambahbaikan masjid di kawasan berkenaan.
“Masih ada kampung yang tidak mempunyai balai raya dan ada juga yang belum mempunyai masjid sendiri. Ini adalah keperluan asas masyarakat yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Samsiah yang berusia 42 tahun turut menyentuh isu peluang pekerjaan dan pembangunan belia di Kukusan, memandangkan ramai anak muda terpaksa berhijrah ke Semenanjung kerana peluang kerja yang terhad di kawasan itu.
Dalam ucapannya di akhir sesi podcast tersebut, beliau merayu kepada seluruh pengundi N70 Kukusan supaya memberi peluang dan mandat kepadanya untuk meneruskan usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
“Saya mohon peluang daripada rakyat Kukusan. Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan sebaik mungkin,” katanya.



