KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim memuji langkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengurangkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI Madani RON95 (BUDI95).
Wakil rakyat PKR itu menyifatkan kerajaan telah memperkenalkan formula ekonomi bijak.
Hal ini kerana katanya, kerajaan dapat berjimat manakala rakyat juga dapat berjimat – sedikit sebanyak pendapatan boleh belanja rakyat bertambah.
“Ini formula ekonomi yang bijak.
“Orang miskin B40 dan kelas menengah M40 gembira dan golongan kaya T20 tidak marah,” puji Hassan.
Mengulas lanjut pengenalan BUDI95 itu, Hassan berkata rakyat biasa atau rakyat marhaen tidak faham sangat erti falsafah Madani.
Tetapi katanya, rakyat miskin dan kaya menyokong pengumuman Kerajaan Madani bahawa subsidi petrol RON95 untuk semua warganegara.
“Dasar seperti ini popular kepada rakyat tanpa mengira kelas dan ras.
“Bukanlah satu kesalahan bagi kerajaan melaksanakan dasar yang popular.
“Pilihan raya negeri dan pilihanraya umum tak lama lagi akan tiba.
“RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kerajaan dapat berjimat,” kata beliau.
Menurut Hassan lagi, jika ada banyak formula ekonomi seperti ini, di mana semua rakyat suka – kos sara hidup tidak menyeksa, kadar inflasi kalau naik pun berpada-pada.
“Begitu juga gaji rakyat naik tinggi selaras kenaikan produktiviti maka ada peluang Kerajaan Madani jadi kerajaan semula pada PRU16 nanti,” jangka beliau.



