KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas untuk menggerakkan agenda penubuhan Hospital Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah dimulakan, demikian kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, beliau berkata MARA sudah mempunyai kriteria lengkap untuk membina sebuah hospital.
“MARA punya ekosistem lengkap untuk sebuah hospital dengan 160 cawangan UniKlinik, UniFarmai, UniDental, UniKL RCMP melahirkan doktor.
“KPTM latih jururawat,” katanya.
Beliau berkata hospital itu bukan sahaja dicadang dibangunkan sebagai hospital pengajar, malah turut membabitkan pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera.
“Lima rasional utama kenapa sudah tiba masanya untuk membangunkan Hospital MARA ialah pertama, MARA sudah mempunyai ekosistem pendidikan yang sangat besar, termasuk UniKL RCMP yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi dan program berkaitan.
“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebahagian daripada keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP,” katanya.
Dr Asyraf Wajdi berkata rasional kedua ialah MARA sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan, merangkumi pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan TVET dan teknologi melalui KKTM termasuk Lenggong dan Ledang, jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.
“Kekuatan MARA ialah kita bukan hanya mempunyai institusi perubatan. Kita juga mempunyai TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri. Sebuah hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu,” katanya.
Beliau berkata rasional ketiga ialah Program Sains Bioperubatan UniKL MESTECH dan disiplin teknologi di pelbagai kampus UniKL boleh disepadukan berikutan kelebihan MARA yang mempunyai pendidikan perubatan, kejuruteraan dan teknologi berkaitan bidang perubatan.
“Keempat, Hospital MARA boleh berfungsi sebagai ‘living laboratory’ (makmal hidup) untuk pelajar dan penyelidik MARA.
“Pelajar KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) boleh terbabit dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan AI (kecerdasan buatan), IoT (internet kebendaan), robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan MARA membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem berkenaan,” katanya.



