KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membawa rayuan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk menyertai Umno semula ke mesyuarat tertinggi parti.
Zahid memberitahu, beliau akan membawa rayuan Tajuddin ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk memuktamadkan nasib bekas ahli Parlimen Pasir Salak itu sama ada diterima atau sebaliknya.
“Saya akan bawa (rayuan Tajuddin) ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan juga Majlis Kerja Tertinggi untuk keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Semalam, Tajuddin yang juga bekas ahli MKT Umno hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 katanya untuk melepas rindu kepada Umno, beliau malah mengakui masih anggap dirinya ahli Umno.
“Datang tengok-tengok melepaskan rindu kepada Umno. Saya masih (anggap diri ahli) Umno lagi walaupun kena gantung, masih ahli, jadi, sebagai ahli masih sayangkan parti mudah-mudahan parti kita akan bangkit semula, harapannya begitulah,” katanya ketika ditemui di WTC, Kuala Lumpur, semlalam.
Pada Jun 2022, Tajuddin yang juga bekas timbalan menteri pertanian digugurkan keahliannya menerusi satu surat yang dihantar oleh presiden parti.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas kepada media selepas itu memaklumkan Tajuddin dipecat kerana mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.
Tajuddin juga telah beberapa kali menghantar surat rayuan kepada Umno supaya penggantungan keahliannya ditarik balik, namun tiada jawapan.
Ditanya sama ada kehadirannya ke persidangan Umno untuk bertemu Zahid, Tajuddin berkata dia tidak mahu menganggu timbalan perdana menteri itu.
“Kalau jemput saya, saya datanglah, kalau pergi (sendiri) menganggu pula,” katanya lagi.