KUALA LUMPUR — Umno Sabah akan memastikan dan berusaha kembali dominan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata cabaran yang dikemukakan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan digalas sepenuhnya dengan menyusun gerak kerja bagi membentuk kerajaan di negeri itu.
Bercakap kepada Suara TV, beliau menjelaskan Umno Sabah telah pun melakukan gerak kerja sejak dua tahun lalu di setiap peringkat parti.
“Kita diminta oleh presiden bahawa Umno Sabah perlu kembali menguasai sebagai kerajaan.
“Selaku ketua Umno Sabah saya akan pastikan cabaran presiden dan parti kepada saya untuk digalas dan menjadikannnya realiti selepas PRN dan Umno Sabah menjadi kerajaan dan bukan sebahagian daripada Kerajaan.
“Sebenarnya usaha ini sudah kita laksanakan awal lagi sejak 2 tahun lalu, saya dan rakan rakan telah turun ke bawah untuk membuat Jelajah dan meninjau persiapan semua jentera di semua peringkat, sayap, wanita dan puteri juga khusus di kerusi kerusi tumpuan,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) bersempena Perhimpunan Agung Umno 2024.
Menurutnya, beliau juga akan meneliti dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi PRN Sabah, namun keutamaan perlu diberikan kepada Barisan Nasional.
“Kita telah menyusun pelbagai strategi untuk berhadapan dengan PRN ini. Presiden juga pernah berkata Umno perlu menentukan hala tuju baru untuk memastikan kita berada dalam kerajaan.
“Kita perlu membuka pintu dengan seluasnya iaitu kita akan mengkaji dengan siapa kita berkerjasama PRN akan datang dan apa pun perundingan itu Umno dihadapan.
“Politik di sabah memang berbeza dengan negeri lain sebab kita ada Kerajaan Perpaduan Walaubagaimanapun apa pun rundingan Umno kena dihadapan tidak boleh disebaliknya
“Insyallah kita akan memastikan Umno harus berhadapan dengan situasi apa pun sebab kita sudah melalui proses ini pada PRN yang lalu dan kita telah belajar banyak bagaimana jenis perundingan akan kita laksanakan,”
Dalam pada itu beliau menolak dakwaan yang menyatakan Umno Sabah mengalami isu perpecahan dalaman sebaliknya beliau berkata ia hanyalah isu perpezaan pendapat sahaja.
“Itu mungkin persepsi masyarakat sahaja yang jelas Umno Sabah tidak ada perpecahan.
“Hanya perbezaan pendapat kita hormati antara satu sama lain kerana akhirnya Umno perlu memutuskan sesuatu untuk mencapai kejayaan,” katanya.