PM kenang jasa petugas JKR terkorban dalam serangan komunis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan pemberian sagu hati RM1,000 kepada 87 buah keluarga bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) yang terkesan akibat serangan pengganas komunis pada tahun 1974.

Pembinaan laluan ini dianggap sebagai ‘Lebuhraya Pertahanan’ yang dibina sebagai salah satu daripada strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis tahun 1970-an.

“Saya cari peruntukan bagi mengenang jasa mereka di atas kerja-kerja dan khidmat mereka selama ini.

“Jadi saya luluskan sagu hati kepada tiap-tiap keluarga bernilai RM1,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Jeti Awam Pulau Bnading di Gerik pada Khamis.

Untuk rekod, beberapa serangan pengganas komunis pada tahun 1974 telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974 dan mengorbankan tiga orang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) semasa bekerja untuk membina laluan ini.

Perdana Menteri turut menyampaikan momento kenangan kepada 37 bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) bagi mengenang kembali jasa dan pengorbanan mereka yang berhadapan dengan ancaman serangan pengganas komunis.

Ketika proses pembinaan jalan raya itu tiga pekerja pembinaan yang terkorban ketika menyiapkan laluan JRTB sekitar 1974.

Hal demikian sumbangan Perdana Menteri itu sebagai mengenang jasa yang dicurahkan kesemua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyiapkan laluan sepanjang 123 kilometer (km) itu.

Perkembangan lain, Anwar I mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (FT004) menghubungkan Gerik-Jeli.

Jumlah itu menjadikan peruntukan disalurkan khusus bagi penambahbaikan dan baikpulih JRTB bagi 2023 berjumlah RM75.676 juta, meningkat daripada RM45.676 juta yang diumumkan Jun lalu.

Perdana Menteri berkata, permintaan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan raya sememangnya banyak, justeru lebihan permintaan lainnya akan dikaji dalam sesi Belanjawan 2024 kelak.

“Baru-baru ini memang sudah diluluskan sekitar beberapa puluh juta namun diminta lagi, jadi untuk jalan-jalan ini walaupun permintaannya banyak tetapi tak mengapa nanti saya akan kaji dalam Belanjawan Madani kedua Oktober nanti.

“Tetapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta,” katanya.

Kempen MYJalan selaras pelancaran aplikasi MyJalan yang dapat meningkatkan keupayaan sistem aduan KKR sedia ada, bertujuan meningkatkan akauntabiliti pengguna jalan raya, pemain industri, dan agensi kerajaan yang berbentuk platform advokasi dan pendedahan mengenai penyelenggaraan jalan raya.

Kata Anwar, kelulusan bagi projek berupa pembaikan kemudahan asas termasuk lebuh raya dan jalan raya khususnya di kawasan pedalaman atau luar bandar termasuk seperti di Gerik padanya lebih membawa pulangan dan habuan sangat bermakna buat rakyat berbanding projek pembinaan gedung dan bangunan besar di ibu kota.

Menerusi Belanjawan 2023 lalu, sebanyak RM1.659 bilion diperuntukkan kepada KKR dengan RM370 juta daripada jumlah itu disalurkan sebagai peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan seluruh negara.

Peruntukan RM370 juta itu membabitkan RM300 juta bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi sebagai inisiatif memberi manfaat besar kepada kontraktor kecil G1-G4; RM20 juta peruntukan khas kepada Jurutera-Jurutera Daerah bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan kecil pada kadar segera; dan RM50 juta bagi kerja pemasangan dan penyenggaraan lampu jalan di kawasan tinggi risiko kemalangan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat