KUALA LUMPUR – Tuntutan ganti rugi yang setimpal antara perlu dilakukan oleh Malaysia terhadap Norway berkaitan pembatalan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM), bagi projek kapal misi pesisir (LCS) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hal ini kerana kerajaan telah menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan.
Katanya, kerajaan juga hendaklah memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai berhubung perkara itu demi memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.
“Jawatankuasa ini menzahirkan kegusaran serius memandangkan kerajaan menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan dan kami menegaskan agar kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.
“Adalah menjadi harapan PAC agar kerajaan memberikan komitmen sepenuhnya dalam memantau garis masa penyerahan LCS supaya ia dapat disiapkan dengan sistem pertahanan yang lengkap dengan fungsi tempur yang sempurna.
“Kerajaan juga hendaklah memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai atau prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi yang setimpal mengikut terma terma kontrak,” katanya lapor Utusan pada Rabu.
Pada 23 Jun lalu, PAC telah menerima taklimat khas daripada Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan perincian menyeluruh mengenai tindakan Kerajaan Norway menarik balik serta membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM yang diperuntukkan bagi LCS.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pertahanan menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan berkenaan susulan pembatalan kontrak perolehan NSM.
Malaysia dilaporkan akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan kontrak perolehan tersebut selepas perubahan dasar kerajaan Norway berkaitan eksport senjata.


