“Keluar UMNO secara terhormat daripada jadi duri dalam daging” – Ahli MKT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Sila keluar UMNO kerana kita sudah buat ketetapan ‘No Anwar, No DAP’, amaran ini dikeluarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Katanya, mana-mana ahli Parlimen UMNO yang enggan patuh kepada ketetapan parti dan mahu menjadi duri dalam daging digesa keluar UMNO secara terhormat dengan segera.

Menurut beliau cadangan itu dikemukakan susulan terdapat segelintir ahli Parlimen UMNO yang dilihat masih sukar untuk membayar balik pengorbanan parti dengan mengemukakan kesetiaan sewajarnya, terutama pada saat kritikal ketika ini.

Jelas beliau, kelompok ahli-ahli Parlimen ini sepatutnya menyedari mereka adalah individu menjadi aset kepada UMNO bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat, lebih-lebih lagi pada saat krisis pandemik Covid-19.

“Bila mereka faham mereka mewakili parti, jadi tidak perlu ada pihak tertentu gerak usaha kutip tandatangan surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong sesiapa.

“Kita sudah buat ketetapan ‘No Anwar, No DAP’ pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sebelum ini. Dalam perhimpunan itu, kita juga memutuskan status sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya setakat 1 Ogos hadapan dengan UMNO menolak sepenuhnya kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

“Jika mereka enggan patuh, lebih elok mereka keluar parti secara terhormat daripada menjadi duri dalam daging,” katanya memetik Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengaku menjadi mastermind dalam mengumpulkan tandatangan SD ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri menjelaskan, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu sidang akhbar maya mendedahkan seorang ahli Parlimen UMNO mengaku menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ahli Parlimen tanpa dinamakan itu memaklumkan beliau menandatangani dokumen sokongan itu 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang ‘kenamaan’.

Mengulas lanjut mengenai penjelasan beliau mendedahkan UMNO tidak terlibat dengan gerakan mengutip sebarang SD pada Isnin, Mohd Razlan mempertahankan kenyataan tersebut kerana perkara itu tidak pernah digerakkan atas arahan parti.

Beliau turut membidas sikap pemimpin UMNO seperti Shahidan yang sekadar membuat pendedahan kononnya berlaku usaha penjajaran baharu UMNO dan Pakatan Harapan (PH), hanya setelah Ahli Parlimen Arau itu hilang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri UMNO.

“Jika diteliti pemimpin-pemimpin UMNO lain yang baru hendak ‘bersuara’ mengenai kepincangan UMNO, tindakan mereka sebenarnya didorong kekecewaan sebab hilang jawatan parti.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO sepatutnya membayar semula kepercayaan parti dengan mengutamakan kesetiaan kepada parti,” katanya.

Mohd Razlan turut menjelaskan keputusan Biro Politik UMNO menuntut sidang Parlimen dilaksanakan dalam tempoh 14 hari adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang memberi pandangan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin.“Keputusan dikemukakan Biro Politik lebih terarah kepada usaha menekan kerajaan PN agar tidak melengah-lengahkan saranan titah Yang di-Pertuan Agong. Takkan kita hendak biar perdana menteri melewat-lewatkan persidangan sehingga Oktober?

“Sekiranya tuntutan itu masih tidak dipenuhi, UMNO akan bawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO bagi menentukan tindakan susulan atau mendapat kesepakatan bahawa kerajaan PN sememangnya derhaka kepada Seri Paduka Baginda,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashin Shirlin mengakui polemik percanggahan pendapat semakin terbuka antara kepimpinan UMNO dan kelompok ahli-ahli Parlimen parti itu sehingga memberi kesan besar terhadap keyakinan akar umbi.

Jelas beliau, semua pihak dalam parti harus mengambil pendekatan tidak membuka pekung di dada sendiri memandangkan segala tindak-tanduk UMNO kini menjadi perhatian rakyat, lebih-lebih lagi pada saat krisis Covid-19 semakin memburuk.

“Saya sarankan kedua-dua pihak, pucuk kepimpinan UMNO dan ahli-ahli Parlimen, duduk semeja dan berbincang secara tertutup bagi menghuraikan kekusutan masing-masing kerana kita tidak mahu rakyat lihat parti berpecah kepada dua puak.

“Saya menyeru semua pihak melihat desakan melaksanakan sidang Parlimen dengan segera secara positif kerana perkara itu juga merupakan hasrat rakyat. Jadi semua pihak kena berbesar hati dan berlapang dada,” kata Rosnah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,547FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat