Perdana Menteri tiba di Jepun untuk lawatan rasmi

- Advertisement -

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu negara Jepun di sini, malam tadi bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke Jepun dengan jadual pertemuan bersama pemimpin utama Jepun, para peneraju industri, persidangan antarabangsa dan perjumpaan bersama rakyat Malaysia di Jepun.

Ini merupakan lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu dan juga merupakan lawatan utama ke ke negara Matahari Terbit itu selepas lebih tahun dunia berhadapan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.

Pesawat membawa perdana menteri mendarat di lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira jam 11.10 malam (jam 10.10 malam waktu Malaysia) dan Ismail Sabri kemudian terus dibawa ke hotel penginapannya.

Turut menyambut ketibaannya di lapangan terbang termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor’ Azam Mohd Idrus; Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara Kementerian Luar Jepun, Kano Takehiro dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Ismail Sabri akan bertemu rakan sejawatnya, Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu pada Oktober tahun lepas pada 27 Mei nanti.

Ismail Sabri dan Kishida sebelum ini pernah mengadakan Sidang Kemuncak Jepun-Malaysia melalui sidang telefon pada 20 April lalu, yang kedua-duanya menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Antara intipati akan dibincangkan kedua-dua pemimpin dalam pertemuan mereka adalah mengenai hubungan Malaysia-Jepun, termasuk kerjasama pandemik COVID-19, pembukaan sempadan dan penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia.

Lawatan ini juga adalah ketika ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang telah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Sempena pertemuan itu nanti, kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum kerjasama antara Malaysia dan Jepun.

Ia membabitkan Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun mengenai industri pesawat; Memorandum Kerjasama Mengenai Kerangka Asas Bagi Perkongsian Maklumat Untuk Operasi Sewajarnya Sistem Berkaitan Sumber Manusia Asing dengan Status “Pekerja Mahir Tertentu” dan Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan.

Ketika di ibu negara Jepun itu, Ismail Sabri akan menyampaikan ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo bertemakan “Redefining Asia’s Role in a Divided World” pada 26 Mei.

Ismail Sabri dijangka membangkitkan isu-isu termasuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memperkasakan mekanisme rundingan dan kerjasama, kerjasama dalam menangani perubahan iklim serta berkongsi konsep Keluarga Malaysia dalam ucaptamanya.

Selain itu Ismail Sabri juga akan mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan daripada syarikat terkemuka di Jepun bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

Antara tokoh yang akan ditemuinya pada 27 Mei adalah syarikat Jepun yang telah bertapak di Malaysia seperti Mitsui Fudosan, Mitsubishi Power dan Marubeni, dan berpotensi untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia.

Selain Saifuddin, Perdana Menteri diiringi beberapa menteri kabinet pada lawatan ini termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat