Polis Berjaya Tumpaskan Sindiket Dadah Didalangi Enam Sekeluarga

- Advertisement -

GEORGETOWN – Satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang dianggotai enam sekeluarga tumpas selepas kesemua mereka ditahan polis dalam tiga serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini, 18 Mei lalu.

Dalam operasi terancang bermula pukul 6 petang hingga 9.50 malam itu, polis menahan ketua sindiket itu berusia 38 tahun, ibu dan bapa ketua sindiket berusia 64 dan 62 tahun, anak dan menantu pasangan tersebut berusia 36 dan 38 tahun serta seorang lagi ahli keluarga mereka berusia 38 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, menerusi operasi itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 8.28 kilogram bernilai RM298,332.

”Dalam serbuan pertama di tepi jalan di Sungai Bakap, polis menahan ketua sindiket iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan merampas dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram bernilai RM223,596.

”Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di Bukit Tengah dan menahan empat suspek iaitu ibu bapa lelaki tersebut berusia 62 serta 64 dan anak serta menantu pasangan berkenaan berumur 36 dan 38 tahun (suami isteri).

”Di sini polis merampas dadah jenis syabu seberat 2.07 kilogram bernilai RM74,736 ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Bagan, Butterworth dan menahan seorang wanita berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

”Wanita berkenaan dipercayai ahli sindiket tersebut dan tiada rampasan dadah dibuat ketika serbuan dijalankan di rumah itu.

”Dua lelaki daripada semua yang mereka ditahan bekerja sebagai pemandu van kilang manakala yang lain tidak bekerja dan mereka yang merupakan ahli keluarga dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah sindiket itu aktif sejak Mei tahun lalu untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan lebih 41,000 penagih.

”Hasil ujian saringan air kencing ke atas enam suspek didapati negatif dadah dan semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod dadah manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Mohd. Shukhairy berkata, polis menyita empat buat kereta dan barang kemas berjumlah RM119,204 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM417,536.

”Kesemua suspek direman enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,271FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat