Hanya 12 Peratus Ahli PKR Undi Pemilihan Parti, Lebih Rendah Berbanding Sebelumnya

- Advertisement -

SHAH ALAM – Hanya 12 peratus atau 136,000 anggota PKR keluar mengundi dalam Pemilihan PKR 2022 yang selesai Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, peratusan keluar mengundi itu agak rendah berbanding dengan pemilihan yang lepas.

Meskipun begitu katanya, masih terdapat lagi pemilihan cabang-cabang yang ditangguhkan pada hari kejadian dan perlu diadakan semula pengundian sebelum berakhir Mei ini.

“Secara keseluruhan, proses pengundian secara fizikal di seluruh negara berjalan dengan baik dan lancar, kecuali di beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor di mana beberapa cabang perlu diadakan pemilihan semula atas beberapa sebab yang dikenal pasti.

“Malah di Selangor dan Sabah yang banyak cabang dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’ juga secara keseluruhannya selesai menjalani proses pengundian dengan baik tanpa ada perkara yang tidak diingini berlaku kecuali sedikit masalah teknikal di Sabah iaitu di awal pagi pemilihan dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, beliau berkata, 76,932 anggota telah mendaftar sebagai Pengundi Atas Talian (PAT) melalui aplikasi ADIL yang digunakan buat pertama kali dalam sejarah pemilihan PKR.

“Ini bermakna kira-kira 90.84 peratus anggota yang memilih sebagai pengundi atas talian telah membuat pilihan kepimpinan mereka secara atas talian.

“Ia suatu pencapaian peratusan yang agak membanggakan memandangkan kaedah pengundian secara atas talian ini adalah baru pertama kali diperkenalkan untuk Pemilihan Keadilan 2022 kali ini,” katanya.

Sementara itu, berkaitan proses Pengundian Semula (Re-Voting) di beberapa cabang, Zaliha berkata, pihak JPP 2022 akan segera bermesyuarat dan akan mengumumkan tarikh baharu pengundian semula untuk cabang-cabang tersebut dalam tempoh terdekat.

“Keputusan penuh pengundian untuk Pemilihan Keadilan 2022 untuk peringkat pimpinan di cabang-cabang dan jawatan-jawatan utama di peringkat Pusat, seperti jawatan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden akan diumumkan selepas semua proses pengundian selesai, iaitu selepas selesai proses pengundian semula di cabang yang ditangguhkan pengundiannya tempohari,” katanya.

Fasa seterusnya bagi Pemilihan PKR 2022 adalah proses pencalonan untuk calon- calon yang berminat untuk menawarkan diri masing-masing sebagai calon-calon untuk jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP).

Tarikh Pencalonan untuk jawatan-jawatan tersebut kini telah ditetapkan pada 29hb Mei, 2022. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat