TAWAU, 23 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat untuk mengembalikan dominasi BN di Sabah dengan memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau sendiri akan mengetuai penyediaan manifesto BN Sabah bagi memastikan tawaran kepada rakyat negeri itu lebih berkesan dan realistik.
“Manifesto ini bukan kitab suci, tetapi sekali kita berjanji, janji wajib ditepati.
“Jangan risau BN, UMNO mahu bekerjasama dengan mana-mana gabungan, sama ada Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau parti lain, itu tuan puan jangan risau,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau.
Dalam ucapannya, Zahid turut mengumumkan bahawa BN Sabah akan memastikan calon yang diketengahkan dalam PRN akan datang mewakili pelbagai suku kaum di Sabah, selain memberi lebih ruang kepada calon wanita.
Menurut beliau, kepelbagaian calon adalah penting bagi memastikan kepentingan semua kaum dan lapisan masyarakat di negeri itu dapat diwakili dengan baik.
Zahid turut menegaskan bahawa BN Sabah tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, asalkan mereka berkongsi visi dan tujuan yang sama dalam memperjuangkan kebajikan rakyat Sabah.
“Kita akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai semangat serta tujuan sama, sekali gus penting bagi mencapai garis utama iaitu demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada PRN 2020, BN Sabah memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).