KUALA LUMPUR, 24 Februari – Pemuda UMNO Kedah mencadangkan agar diadakan satu pungutan suara bagi menentukan siapa yang benar-benar mewakili suara orang Melayu antara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhammad Akmal Salleh, dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Nazri Aziz.
Cadangan ini disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Bin Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Mohd Radhi Bin Abdul Rahim, dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Khairul Azam Bin Alias.
Dalam kenyataan media bersama, mereka menegaskan Akmal telah membuktikan keberaniannya dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu tanpa gentar terhadap sebarang tekanan atau ancaman. Mereka turut menyatakan bahawa perkara ini sepatutnya dilihat dari sudut positif oleh Nazri Aziz memandangkan beliau sendiri pernah berada dalam barisan Pemuda UMNO Malaysia yang terkenal sebagai pejuang suara orang Melayu dan akar umbi.
Kenyataan ini dibuat susulan kritikan Nazri Aziz terhadap Dr. Akmal berhubung beberapa pendirian beliau dalam isu-isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam. Nazri, yang sebelum ini merupakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, telah menyelar tindakan Akmal yang dilihat lantang dalam memperjuangkan isu-isu nasional, termasuk larangan jualan arak di kedai serbaneka serta desakan terhadap syarikat korporat untuk lebih peka terhadap sensitiviti umat Islam.
Nazri mengannggap suara-suara kritikan oleh Akmal ke atas kerajaan tidak mewakili suara majoriti orang Melayu yang megambil pendirian berdiam diri dari bertentangan dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu.
Menyanggah kenyataan tersebut ketiga-tiga mereka mendakwa Akmal lebih berprinsip dari Nazri yang sentiasa berubah pendirian mengikut keuntungan peribadi.
“Dr Akmal Salleh sentiasa tegas dan berprinsip dalam mempertahankan maruah agama, bangsa, dan negara. Sebaliknya, kenyataan serta tindakan Nazri Aziz kebelakangan ini dilihat lebih mirip kepada pendekatan Lokman Adam yang lebih menumpukan kepentingan individu berbanding perjuangan sebenar sebagai pemimpin UMNO,” ujar mereka dalam kenyataan bersama itu.
Bagi mereka kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia di bawah Akmal Salleh perlu terus kukuh untuk memastikan suara generasi orang Melayu tidak diperkecilkan atau diselewengkan oleh mereka yang tidak lagi memahami denyut nadi perjuangan rakyat.
Mereka turut menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO, khususnya golongan muda, untuk terus berdiri teguh bersama kepimpinan yang berani dan ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa, dan negara.
“Hanya dengan kepimpinan yang berprinsip dan tegas, UMNO akan terus relevan sebagai benteng utama perjuangan orang Melayu. Lebih penting lagi, kita perlu melihat segala pendekatan bagi mengembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO selaras dengan prinsip dan perjuangan parti, bukan menyalahkan antara satu sama lain,” ujar mereka lagi.- SUARATV