KUALA LUMPUR, 24 Februari – Kelab Pemilik Rasmi Ducati Malaysia (DOCM) mengadakan acara tahunan yang menyaksikan peralihan kepimpinan, dengan Datuk Sri Nazir Hussin Akhtar Hussin dipilih sebulat suara sebagai Presiden DOCM 2025, menggantikan Hishamuddin Md Sani yang menamatkan tempoh dua tahun kepimpinannya.
DOCM, yang didaftarkan pada tahun 2016, kini mempunyai hampir 1,500 ahli dari seluruh Malaysia, termasuk Singapura dan Thailand. Ahli kelab ini memiliki pelbagai model Ducati seperti Panigale, Multistrada, Diavel, Hyper, dan Monster.
Nazir, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penasihat kelab pada 2023 dan 2024, serta memegang jawatan sebagai “corporate affairs” dalam jawatankuasa pusat DOCM selama tiga tahun berturut-turut, mempunyai pengalaman luas dan pengaruh besar dalam dunia permotoran.
Majlis bermula dengan konvoi melibatkan 400 motosikal Ducati dari Top G Coffee & Cafe, Publika, ke KLCC untuk acara simbolik kerjasama dengan Petronas Sprinta, sebelum bergerak ke Movenpick, Sepang bagi mesyuarat agung tahunan.
Acara ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Bin Hj Nasarah. Turut hadir ialah CEO PETRONAS Sepang International Circuit, Azhan Shafriman Hani, CEO PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Zameer Zahur Hussain, serta Dato Rizal dari Next Bike Malaysia (pemilik tunggal Ducati Malaysia), selain penaja utama seperti CKS dan Al Fitry Batik.
Dalam ucapannya, Shamsul Anuar menekankan bahawa sukan permotoran boleh menjadi platform menyatukan belia serta menjalin kolaborasi strategik. Beliau turut memuji penajaan PETRONAS Lubricants Marketing kepada DOCM sebagai bukti kukuh kerjasama antara NGO dan pengeluar minyak bertaraf dunia yang saling memberi impak positif.
Sementara itu, Hishamuddin menyatakan sokongan penuh terhadap Nazir sebagai presiden baharu, yakin bahawa kepimpinannya mampu membawa kelab ke tahap lebih tinggi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang menjayakan AGM kali ini, termasuk Ducati Malaysia, Al Fitry Batik, CKS Sdn Bhd, Top G Coffee, AXO Technologies Sdn Bhd, Ducati Penang, Permodalan RISDA, SRS Makmur Sdn Bhd, Allianz General Insurance Company, Horizon Motorsports, The Room, KLCL Enterprise Sdn Bhd, Otaido Malaysia, dan Illusa.
Nazir selepas dipilih sebulat suara, menyatakan komitmennya untuk menyatukan semua ahli kelab dan pemilik Ducati di Malaysia, bukan sekadar sebagai platform ukhuwah, hiburan, dan hobi, tetapi juga untuk mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Ramai anak Melayu memiliki Ducati. Kita akan menjadi gergasi di Asia Tenggara dan menarik pelancong ke Malaysia untuk menunggang bersama kita. Anak muda Malaysia dan sukan permotoran berpisah tiada. Ini masa kita lakukan sesuatu yang membina untuk ahli dan negara,” katanya.