Malaysia akan terus sokong Kemboja tangani isu Myanmar – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneruskan usaha sama dengan Kemboja untuk menjaga keamanan dan kestabilan, serta kemakmuran rantau kita di persada dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu beliau dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bertukar-tukar pandangan berkenaan situasi di Myanmar.

Kata Ismail Sabri, Malaysia akan terus menyokong usaha- usaha Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN, serta Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar dalam menangani situasi di Myanmar dengan berkesan.

“Malaysia berpandangan bahawa Myanmar adalah sebuah negara jiran dan negara ASEAN yang dihargai. Namun, kita mahu melihat Myanmar pulih seperti sedia kala.

“Kita juga mahu agar Myanmar terus mencapai kemajuan demi kebaikan rakyatnya dan agar negara tersebut berada dalam keadaan yang aman, harmoni, dan sejahtera.

“Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) adalah sangat penting. Ini merupakan hala tuju kita bersama dalam menangani situasi di Myanmar. Semua pihak seharusnya bersama-sama berusaha untuk melaksanakan ASEAN 5PC dengan berkesan dan menyeluruh.

“Walaupun begitu,tanggung jawab utama dalam hal ini terletak kepada pemerintahan di Myanmar. Mereka juga adalah sebahagian daripada Konsensus ini,” ujar Perdana Menteri.

Selain itu, beliau turut menggariskan pentingnya perkembangan positif dapat dilihat dalam menangani isu Rohingya.

“Saya berkongsi dengan PM Hun Sen cabaran yang dihadapi oleh negara- negara penerima (receiving States) pelarian termasuk Malaysia, disebabkan oleh kemasukan pelarian Rohingya dan lain-lain dari Myanmar.

“Saya menghargai TYT PM Hun Sen yang memahami cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Malaysia dalam menempatkan secara sementara pelarian-pelarian tersebut.

“Dalam hal ini, repatriasi pelarian-pelarian ini ke Myanmar secara selamat dan bermaruah perlu dilaksanakan,” jelasnya.

Seterusnya kata beliau, Malaysia dan Kemboja juga berbincang berkenaan isu Laut China Selatan.

“Apa yang penting adalah supaya Laut China Selatan ini kekal menjadi laut yang aman dan stabil, serta selamat untuk perdagangan.

“Apa-apa isu yang timbul perlu kita tangani secara rasional, aman dan konstruktif, mengikut prinsip- prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuklah UNCLOS 1982.

“Malaysia dan Kemboja menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini, saya ingin menyampaikan rasa gembira terhadap yang teguh antara kedua-dua negara. Kita juga berdiri atas landasan di mana kita saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

“Saya percaya kita akan mencapai lebih banyak kejayaan dengan kerjasama erat yang dipupuk.

“Saya mengalu-alukan TYT Samdech Techo Hun Sen untuk melawat Malaysia pada satu kesempatan di masa akan datang,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut menyenaraikan intipati kerjasama antara dua negara iaitu membabitkan pertukaran lawatan bagi membuka lebih banyak peluang dalam pertumbuhan kerjasama pelbagai dimensi; kerjasama Covid-19 mengenai pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia.

Bukan itu sahaja katanya kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kemboja dalam sektor perladangan dan komoditi; kerjasama dalam industri halal; kerjasama belia juga kerjasama ASEAN.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat