KUALA LUMPUR – Pendedahan perbicaraan
bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner bukan sekadar menyingkap kes rasuah 1MDB malah kisah asmara,” kata Datuk A. Kadir Jasin.

Tokoh wartawan nasional itu menegaskan, jelas daripada keterangan bersumpah di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat oleh bekas eksekutif kanan Goldman Sachs ini bahawa rasuah 1MDB ini sangat luas dan terancang.

“Kalau rajin dan ada masa, bacalah. Bagi saya, cerita ini mengingatkan kisah seks dan pengintipan yang melibatkan Lord Profumo dan Christine Keeler pada tahun 1960-an.

“Bagi yang lebih mudah, mungkin seakan-akan perbicaraan kes pembunuhan kejam Altantuya Saariibuu dalam hal kontrak kapal selam Scopene,” ulas beliau.

Namun, A. Kadir tetap mengingatkan di sebalik pembongkaran kes ini rakyat Malaysia juga menanggung beban hutang 1MDB lebih RM50 bilion.

“Tapi janganlah seronok sangat membaca kerana akibat perbuatan jahat dan terkutuk ini, kita rakyat jelata Malaysia menanggung beban hutang 1MDB lebih RM50 bilion.

“Dalam bahasa Inggeris, kita kata Tim Leissner sedang “spill the beans” mengenai Najib. Habis kacang ditumpahkannya,” ujar beliau.

Semalam, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner mendedahkan dia bukan sahaja meraih urus niaga besar di Malaysia, dia juga sempat bercinta – dengan tiga wanita.

Memberi keterangan di hadapan mahkamah Amerika Syarikat dalam perbicaraan terhadap Roger Ng, Leissner mendedahkan perkara itu apabila pendakwa raya bertanya kepadanya tentang perjalanannya ke Beijing pada 2009.