KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendedahkan Presiden UMNO itu pernah meminta bantuan untuk menghentikan siasatan kes rasuah terhadapnya.

Meskipun mengakui berlaku pertemuan itu namun, Zahid menyatakan ia menjurus kepada perbincangan membentuk kerajaan perpaduan.

” Saya dijemput bersama-sama dengan presiden-presiden parti oleh Tun Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.

” Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai.

” Saya tidak pernah sekali pun meminta Tun Mahathir untuk berbuat demikian,” sangkal Zahid dalam hantaran di Facebooknya, semalam.

Bahkan, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan pada pertemuan bersama Dr Mahathir itu beliau masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri malah belum terkait dengan sebarang siasatan mahupun pertuduhan rasuah.

“Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, kerana ketika itu saya adalah Timbalan Perdana Menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan.

” Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun Mahathir untuk dia memohon maaf atas pembohongannya.

Terdahulu Dr Mahathir mendedahkan Zahid pernah meminta siasatan kes mahkamah terhadapnya dihentikan.

Dr Mahathir memberitahu, Zahid datang ke rumahnya selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ketika itu beliau calon potensi utama Perdana Menteri bagi PH.

“Sebelum saya jadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya bersama dengan dua, tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.

“Pada masa itu ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri sebab itu dia (Zahid) ingin baik dengan saya, tapi saya dah tau masalah Zahid… dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan…masuk jail kerana perbuatan curang jenayah yang dilakukan.

“Siasatan masih ada, dia nak supaya siasatan ini dihentikan. Itu benar,” akui Pengerusi Pejuang itu.