KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan kesemua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang dikuatkuasakan sebelum 2013, yang selepas itu diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

BNM menambah, syarat-syarat terbabit dan kriteria yang mengawal pelaburan berkenaan adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

“Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” menurutnya dalam kenyataan.

Kenyataan BNM itu adalah merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat (AS) berhubung kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk melabur di luar negara pada 2009.

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenor.

Dalam hal terbabit, maklumat diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, jelasnya.

Semalam, media melaporkan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM membenarkan pindahan wang keluar negara sebanyak USD1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

Pindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya adalah Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Dokumen mahkamah menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang didengarnya mengenai kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka mendapat tahu 1MDB membuat pindahan itu.