Penilaian Tahun 4 : PM Mahu Kelemahan Asas Murid Dikesan Lebih Awal

BUTTERWORTH: Kerajaan bakal melaksanakan penilaian asas pada Tahun 4 menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 bagi mengesan lebih awal kekurangan murid dalam kemahiran teras seperti membaca, menulis dan mengira.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu membolehkan tindakan pemulihan disegerakan sebelum pelajar melangkah ke sekolah menengah, berbanding pendekatan lama yang menumpukan penilaian di penghujung sekolah rendah.

Beliau menegaskan pembaharuan dasar itu bertujuan memperkukuh mutu pendidikan negara supaya generasi akan datang bukan sahaja berilmu, malah cekap dalam kemahiran baharu termasuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Dasar pendidikan negara yang baharu memberi keutamaan kepada peningkatan kualiti pembelajaran demi masa depan anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok tambahan Hospital Seberang Jaya di Perai.

Selain itu, memetik laporan BERNAMA, beliau turut menyentuh usaha memperkenalkan kemasukan prasekolah seawal usia lima tahun sebagai persediaan awal sebelum kanak-kanak memasuki Tahun 1. Kerajaan juga menyediakan kemudahan prasekolah tanpa bayaran di sekolah terpilih bagi memastikan akses pendidikan asas lebih menyeluruh.

Anwar menegaskan perbincangan mengenai pendidikan tidak harus diseret ke polemik yang memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya fokus perlu diberi kepada peningkatan kualiti pembelajaran dan pembentukan nilai murni dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Menurut beliau, kerajaan kekal memberi ruang kepada pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah agama, antarabangsa dan aliran bahasa, dengan syarat pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah negara sebagai asas perpaduan.

Katanya, pelajar daripada pelbagai latar sistem pendidikan yang memenuhi syarat berkenaan wajar diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang bersesuaian.

Pendekatan inklusif itu, jelasnya, penting bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal adil serta memberi peluang saksama kepada semua, tanpa mengabaikan identiti kebangsaan.

Beliau menambah, pendidikan masa depan bukan hanya menuntut penguasaan teknologi dan kemahiran moden, tetapi turut berperanan membentuk insan berakhlak, saling menghormati dan memahami kepelbagaian budaya Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat